PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang, Liew Vui Keong hari ini mempertahankan usul yang dibawa Shafie Apdal berhubung sepucuk surat tular mengenai usul undi percaya di Dewan Rakyat bahawa Dr Mahathir Mohamad memiliki sokongan majoriti ahli dewan sebagai perdana menteri.
Liew berkata, usul dikemukakan Shafie adalah mengikut apa yang dibenarkan dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, oleh itu semua pihak tidak seharusnya membuat andaian ketua menteri Sabah itu tidak menghormati keputusan Yang Di Pertuan Agong.
“Ahli Parlimen sudah mengemukakan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) yang membenarkan sesuatu usul itu dikemukakan mengikut tatacaranya.
“Adalah terserah kepada speaker Dewan Rakyat untuk memutuskannya atau selepas mengkehendaki apa-apa undian yang perlu dibuat dan diputuskan.
“Ahli Parlimen Semporna tahu kuasa melantik perdana menteri adalah di bawah kuasa mutlak Agong. Beliau tidak menafikan kenyataan itu kerana tahu akan wujudnya Perkara 43 yang menyebut tentang kuasa Agong, untuk melantik seseorang perdana menteri,” katanya.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof menolak permohonan yang dikatakan daripada Shafie memohon izin membawa usul dan mengemukakan resolusi terhadap Mahathir.
Surat yang dikatakan dari Shafie itu mencadangkan usul mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Dalam surat yang dilihat FMT, Ariff berkata usul itu tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia “mempertikai kuasa Agong dalam urusan pelantikan jawatan perdana menteri”.
Liew berkata, dalam surat usul dikemukakan Shafie, beliau hanya ingin menarik perhatian Agong dan Istana Negara dan juga kepada rakyat bahawa amnya menurut Perlembagaan Persekutuan, perkara yang melibatkan sama ada seseorang itu memiliki keyakinan majoriti untuk menjadi seorang perdana menteri perlu dibuat dan diputuskan melalui pemilihan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat semasa Parlimen bersidang.
“Ini membawa maksud setelah pengesahan mengenai isu keyakinan majoriti ini dibentang, dibahas dan diputuskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang bersidang, maka selanjutnya sembah maklum perkara ini perlu dipanjangkan ke makluman Agong.
“Ini adalah kerana sehingga ke hari ini, semua pihak amat ternanti-nanti sama ada Mahathir dan Muhyiddin Yassin, yang manakah antara tokoh berdua ini yang memiliki keyakinan majoriti,” katanya.
Pada masa sama, Liew turut memaklumkan keputusan speaker Dewan Rakyat menolak usulnya berhubung keputusan kerajaan pada hari ini kerana kerajaan Perikatan Nasional ini mempunyai sokongan adalah pra-matang. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.