`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 14, 2020

Titah ucapan Agong pertama pada 1959 untuk Parlimen 2020



Pada 18 Mei 2020 ini, Dewan Rakyat akan mencipta satu sejarah baru. Harus dinyatakan, hari tersebut akan menjadi satu episod penting dalam sejarah demokrasi berparlimen negara ini yang akan diperhatikan oleh anak cucu kita yang akan lebih pintar dan bijaksana dari kita pada hari ini.
Adalah baik jika – semua daripada kita – mengambil sejarah sebagai panduan. Sejarah yang hamba maksudkan adalah titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad di upacara pembukaan Parlimen pada 11 September 1959.
Maka dengan itu, kita rakyat akan tahu apakah gunanya Dewan Rakyat dalam kehidupan bernegara kita. Titah ucapan Tuanku Abdul Rahman yang pertama itu wajar menjadi petunjuk buat – semua daripada kita – tidak kira siapa. Akan tetapi hamba tidak akan menurunkan bulat-bulat seluruh titah ucapan Agong yang pertama tersebut. Biarlah Mohamad Ariff Md Yusof, speaker Dewan Rakyat mengedarkan titah ucapan zaman lampau itu untuk dirujuk ahli Dewan Rakyat di tahun 2020.
Hamba hanya akan mengeluarkan inti penting dari titah ucapan 1959 tersebut semoga kita mendapat pengajaran dan teladan pada tahun ini. Sesungguhnya jika kita – siapa pun – tidak mahu merenung dan belajar dari sejarah, kita akan dikutuk generasi hadapan. Ini kerana Agong pertama tatkala itu – pada 11 September 1959 – memesan bahawa titah ucapan baginda tersebut akan kelak menjadi polisi dan objektif kerajaan di masa hadapan, katakan pada 18 Mei 2020. Titah tuanku; “the formal statement of the future policies and objectives of Our Government”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah berlaku?
Bukan itu sahaja, Agong pertama memberi semacam amaran, atau harapan bahawa kelak (ingat tuanku bertitah pada 1959) akan ada sejarawan masa hadapan (sekarang 2020) akan mencungkil apa yang dilakukan oleh umat atau rakyat sebelum. Oleh sebab itu menurut tuanku, mereka pada 1959 harus melakukan yang terbaik; “it is Our hope that historians of the future who look back on these events will record that what we have done in Malaya today we have done well.” Tentu, harapan tuanku adalah agar sejarawan masa hadapan tidak mencemuh apa yang berlaku saat itu. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini akan berlaku?
Apakah inti kandungan titah ucapan Agong Tuanku Abdul Rahman di upacara pembukaan Parlimen yang boleh kita – semua dari kita – pelajari?
Pertama, kesan yang hamba perolehi dari membaca titah ucapan itu ialah Dewan Rakyat adalah puncak kepada penggubalan Perlembagaan, malah merupakan inti penting penubuhan negara Malaysia; “this Parliament was the crown and climax of our Constitution: in fact, it is the very essence”. Ini kerana Perlembagaan adalah pencapaian demokratik terbesar negara ini; “the Constitution of the Federation of Malaya is in itself a democratic achievement of the highest order”. Ini bermakna, Dewan Rakyat dan persidangan di situ adalah asas negara ini. Justeru, hamba percaya kita tidak akan memilih untuk memperkecilkan atau memendekkan kemuliaannya yang panjang. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini akan/telah berlaku?
Kedua, Agong pertama hamba dapati menegaskan betapa Dewan Rakyat dan persidangannya adalah satu penyataan demokrasi berparlimen yang melindungi kebebasan paling asas iaitu bersangkut kehormatan setiap manusia. Ini meliputi kebebasan bersuara, dan kebebasan beragama; “a charter of our firm faith in the concepts and traditions of parliamentary democracy and finally, and most important of all, a charter of our common belief that certain fundamental liberties are essential to the dignity and self­respect of man. These fundamental liberties are written into our Constitution. They include the liberty and equality of persons under the law, the basic freedom of speech and freedom of worship”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah berlaku?
Ketiga, baginda juga menitahkan yang Dewan Rakyat dan Perlembagaan juga memandang tinggi mandat rakyat yang memilih kerajaan secara demokrasi, hamba kutip asal titah ucapan baginda di sini, “the electoral rights of citizens in our democracy”. Ini kerana menurut baginda lagi; mandat rakyat adalah kehendak rakyat yang perlu dihormati. Titah tuanku berbunyi; ‘the voice of the people is the will of the peopl” memandangkan Perlembagaan adalah “the guardian of the rule of law”.
Berderau darah hamba membaca ungkapan rule of law itu. Hal ini sesungguhnya penting kerana menurut tuanku ia adalah kompas atau “petunjuk di masa depan yang tidak ketahuan”. Titah 1959 tersebut terasa berdengung dalam telinga hamba di tahun 2020; “in more symbolic terms it is the compass which will guide us through the unknown future”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah berlaku?
Keempat, oleh sebab Dewan Rakyat adalah kuasa rakyat, tuanku menitahkan ahli Parlimen atau Yang Berhormat yang terpilih dalam pilihan raya Umum adalah suara rakyat, dan harus berperanan untuk memanfaatkan rakyat, bukan sebaliknya; “We urge you always to remember that you are the representatives of all the people without exception, and that what you do here shall be done for the benefit of all the people”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah/akan berlaku?
Kelima, pesan dari masa lampau iaitu pada 1959 itu juga mengingatkan ahli Dewan Rakyat agar semenggah dan senonoh laku memandangkan Dewan Rakyat adalah cermin demokrasi yang kita harapkan ketika menubuhkan negara ini; “we urge you to conduct your affairs in such a way that the Parliament of the Federation of Malaya will be a shining beacon of democracy at its at its brightest and best”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah berlaku? Kalau tidak di Dewan Rakyat, adakah ia berlaku di Dewan Undangan Negeri seperti Melaka?
Keenam, justeru titah Tuanku Abdul Rahman, Dewan Rakyat ini tidak dapat tidak akan menjadi tumpuan rakyat. Malah bukan sahaja rakyat, seluruh dunia akan memerhatikan kesuburan, atau kebantutan demokrasi negara ini dari Dewan Rakyat; “from this day onwards, this Parliament of ours will be the centre of national attention for all Malayans wherever they may be. The progress of this Parliament will be watched not by Malayans alone. We are sure that throughout the free world where parliamentary institutions are the guardians of democracy the future of this Parliament will be followed with keen interest and goodwill”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah/akan berlaku? Apakah kita tidak malu jika kita berbuat tidak tentu?
Ketujuh, tuanku pada 1959 juga menginginkan supaya aturan Dewan Rakyat dihormati, manakala perbahasan ahli Dewan akan kekal menyanjungi kehendak dan mandat rakyat yang diperolehi semasa pilihan raya Umum. Baginda seterusnya menitahkan Dewan Rakyat adalah tempatnya untuk mencari penyelesaian dan kepercayaan terbaik demi rakyat; “May you show respect for one another and for each other’s opinions, even though your views may be diametrically opposed. It is Our expectation that Honourable Members will fight their battles in this House on the best of terms and in a spirit of goodwill for one another”. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah ini telah/akan berlaku? Atau adakah ia tidak berlaku?
Membaca titah ucapan titah Ucapan Tuanku Abdul Rahman di upacara pembukaan Parlimen, 61 tahun yang lalu meremangkan bulu tengkuk setiap dari kita rakyat Malaysia tanpa mengenal kaum, jantina, dan kepercayaan.
Seolah-olah dari alam roh, Tuanku Abdul Rahman bangkit memandang kita rakyat dengan belas kasihan; manakala merenung tajam ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat pada 2020. Baginda memberitahu semua mereka yang akan bersidang – semua yang terlibat – agar melakukan yang terbaik; “it is Our hope that historians of the future who look back on these events will record that what we have done in Malaya today we have done well”.
Tentu, harapan atau amaran tuanku tersebut adalah agar sejarawan masa hadapan tidak mencemuh apa yang berlaku saat itu. Hamba ingin membawa pembaca merenung apakah harapan tuanku pada 1959 itu telah berlaku?
Sekarang, anggaplah Hamba, sejarawan dari masa hadapan yang membawa pembaca dari 2081 untuk merenung perbuatan kalian hari ini. Mahukah kalian tahu apakah cicit kalian – dari masa mendatang – sedang lakukan ketika membaca sejarah yang kalian lakarkan hari ini? Mereka punya 2 pilihan iaitu untuk meletakkan bunga, atau bangkai di pusara kalian.
Bunga atau bangkai. Demokrasi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.