Kalau ada seorang manusia tiba-tiba mengatakan Tuhannya adalah seorang manusia yang lain, kita akan mengatakan dia gila. Sebab secara waras, manusia tidak berhak disembah. Ini sebab manusia tidak boleh menghambakan seorang manusia lain. Tuhan dalam Al-Quran, melarang orang yang beriman kepada-Nya menyamakan diri-Nya dengan yang lain. Pun, kalau tiba-tiba ada manusia mengatakan Tuhannya ada bayang-bayang di muka bumi, dan bayang-bayang Tuhan ini misalnya ada pada manusia, pun kita akan mengatakan manusia ini gila. Mengapa pula misalnya Allah bertempat di langit, dan bayang-bayangnya jatuh di muka bumi? Untuk ada bayang-bayang tentu ada sinar matahari, dan bukankah matahari itu sendiri ciptaan Tuhan, iaitu Allah. Jadi mengapa ada yang mendakwa Allah itu berlokasi?
Kalau Allah bertempat maka dia bukan Tuhan. Sebab Allah tidak bertempat.
Kalau ada manusia mengaku Tuhannya adalah Allah, jika kita seorang Muslim; kita tidak akan mengatakan dia gila. Memang Tuhannya pun Allah. Bahkan Allah adalah Maha Mencipta. Allah Yang Maha Suci adalah Tuhan untuk Pope Francis, demikian juga dia adalah Tuhan untuk Ayatullah Ali Sistani. Siapa yang sanggup tergamak menafikan Allah itu Tuhan kepada Sajat?
Demikian juga Allah adalah Tuhan untuk pencuri dan penyangak. Allah juga Tuhan untuk virus. Allah Tuhan untuk kucing saya di rumah. Allah Tuhan untuk semua. Soal ada manusia tak mahu mengakui Allah itu Tuhan dan memilih Ayah Pin katakan sebagai Tuhan, itu memang soal dia. Ada orang akan mengatakannya gila. Ada orang mungkin akan memilih untuk percaya. Ada banyak faktor ini semua terjadi. Kita tidak akan mengupasnya di sini.
Bila kamu jadi seorang Muslim, pada pengenalan diri kamu; ia bukanlah satu jaminan istimewa atau syarat cukup makan untuk kamu menjadi seorang yang mengenal Tuhan. Seorang muslim dan bukan muslim boleh memiliki status yang sama, iaitu status gagal mengenal Allah. Sama seperti keadaannya bila seorang Muslim dan bukan Muslim itu masing-masing berjaya mengenal Allah. Contoh bukan Muslim berjaya mengenal Allah itu adalah bila dia itu bukan Islam tapi dia ingin menyelamatkan hutan dan gunung-ganang dengan keyakinan itu ciptaan Allah, dan dia rasa siapa yang membalak itu mengkhianati ciptaan Allah.
Tak mustahil bukan Muslim seperti orang Penan itu boleh jadi jiran tok lebai di Firdausi. Sebab dia baik dan dia menghargai ciptaan Allah iaitu hutan. Tok lebai barangkali mencari lailatul qadr untuk masuk syurga, Penan barangkali cukup dengan menahan pembalak dari mara. Boleh jadi juga tok siak jadi penghuni neraka, bersama Dajjal kerana masing-masing gagal mempercayai Tuhan, iaitu dia lebih percayakan manusia yang mengganasi ciptaan Tuhan. Saat gagal mempercayai maka gagal menghargai.
Menurut Rumi, dalam banyak keadaan seorang muslim dan nasrani (m dan n huruf kecil) boleh memiliki status yang sama, iaitu status mengenal Allah, maka Rumi mengabaikan kritikannya terhadap keturunan tentera Mongol yang menghuni di dunia Islam; “Setiap yang tidak beriman dan yang beriman adalah ciptaan Tuhan, tembaga dan perak tunduk pada kuasa-Nya”. Dalam satu bait lain, Rumi menyatakan para penganut agama sedang tertakluk atau terkurung oleh bentuk, maka ia menyarankan supaya bentuk dilepaskan untuk menemui inti; “Jika kamu teman, melampaui acuan dan bentuk, ada syurgawi dan taman mawar di dalam taman-taman mawar. Saat kamu memusnahkan bentuk kamu, kamu akan belajar untuk memecahkan bentuk-bentuk lain juga. Setelah itu, kamu akan memecahkan semua bentuk-bentuk lain persis Ali membongkar pintu kota Khaybar”.
Profesor Annemarie Schimmel dalam memanjangkan gagasan Rumi di atas menyimpulkan, “Cinta (merujuk Tuhan) melampaui huruf-huruf dan pengetahuan rasional, ia melampaui semua ritual relijius”. Oleh kerana itu, untuk menegaskan gagasan Rumi, Schimmel memetik bait-bait Rumi yang lain, “mengapa engkau masih berada dalam kekangan sejadah?” atau bait Rumi yang lebih ketara, “Cinta bebas dari sempitnya ceruk doa dan salib”.
Rumi, dalam hal ini memberikan pengajaran yang lebih tuntas;
“Beza seorang yang beriman dengan yang tidak beriman, dan seorang Yahudi berbangkit dari objek yang dilihat. Mata kasar itu ibarat tapak tangan yang tidak dapat mengawal seluruh badan. Mata batin berbeza dari busa laut. Nyahkan busa dan buih, cubalah melihat dari mata samudera itu sendiri (Tuhan). Kita menabrak satu sama lain umpama perahu. Mata kita gelap meski kita berada dalam air yang cerah. Duhai yang lena di dalam perahu tubuh, kalian telah melihat air, maka lihatlah air pada air (Zat).”
Dalam mengupas bait ini, Profesor Erkan Turkmen “The Essence of Rumi’s Masnevi: Including His Life and Works” membawakan satu ‘naratif anggur’ yang berguna untuk direnungi bersama;
“Seorang lelaki memberikan satu dirham kepada empat lelaki yang mahu membeli sesuatu untuk diri masing-masing. Seorang Turk mengatakan, ‘Aku mahu uzum’. Si Parsi mengatakan, ‘Aku mahu angur’. Manakala yang Arab menyebut, ‘Aku mahu inab’. Sedang si lelaki Greek ingin membeli ‘stafili’. Semuanya mencari benda yang sama, dan apabila seorang maha guru yang menguasai empat bahasa memberitahu dan membawa mereka kepada anggur, semua mengekorinya. Demikianlah kita mencari Tuhan sambil mengatakan ‘Bhagwan, Ram, Devta, Khuda, Tanri, Deus, Allah dan macam nama lagi’. Apabila diri rendah kita tersingkapkan Hakikat, kita melawan ego sendiri dan bukannya Tuhan yang sangat hampir dengan diri kita.”
Umat Kristian perlu memahami Nabi Muhammad adalah rahmat untuk semesta alam, “rahmatan lil alamin”, seperti yang Allah firmankan dalam Al-Quran, terjemahannya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Al-Anbiyaa’: 107)”. Umat Islam pula perlu menyedari kedudukan Al Masih sebagai “ayatun lil alamin”, tanda bagi kemanusiaan, seperti yang difirmankan Allah dalam surah yang sama pada ayat suci yang lain, terjemahannya: “Dan sebutkanlah peristiwa perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Ruh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasan Kami) bagi umat manusia (Al-Anbiyaa’: 91)”.
Al-Quran menegaskan betapa dekatnya hubungan antara umat Kristian dan Islam, bukan sebaliknya. Itu sebab kedua-duanya disebut agama langit. Kenyataan ini dapat dibaca menerusi firman Allah, terjemahannya: “Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’. Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong (Al-Maa’idah: 82)”.
Istilah rahmat untuk alam semesta dan tanda kemanusiaan yang dilekat kepada Nabi Muhammad dan Al Masih wajar menjadi satu titik penting untuk direnungi oleh umat kedua-dua agama untuk lebih berbaik sangka dan menjalin hubungan yang padu dalam menentang militan dan ekstrimis.
Saya rasa Pope Francis dan Ayatullah Ali Sistani minggu ini memahami ayat-ayat di atas yang membolehkan mereka duduk bersebelahan dan saling memuji satu sama lain. Kedua-duanya adalah insan bertuhan. Kedua-duanya makhluk Allah.
Tetapi ada orang lain lebih pandai.
Sebab dia ingin membolot Allah untuk dirinya, atau untuk umatnya sendiri. Punyalah sombong (seperti diperi dalam ayat suci di atas). Sambil merebut Allah dan membawa lari, dia boleh pula percaya Allah ada bayang-bayang di muka bumi, atau, di akhirat nanti dia percaya dirinya boleh melihat Allah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.