Tiga hari lalu Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan, dalam temuramah eksklusif bersama akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily, memberitahu beliau percaya Umno dan partinya akan terus bekerjasama – walaupun ada suara dalam Umno mahu hubungan dengan PPBM diputuskan dan beberapa Ahli Parlimen Umno menarik sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Nyata ramalan itu tidak menjadi realiti. Seperti kita tahu, Umno sudah pun menghantar surat kepada Muhyiddin memaklumkan tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional hanya diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan (untuk memberi laluan kepada pilihan raya).
Bagi saya, maksudnya Umno akan berdepan dengan PPBM/Perikatan Nasional pada PRU-15. Sama ada bersendirian atau bersama rakan baharu dalam gabungan baharu – itu persoalannya.
Bagi bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Annuar Musa, Umno akan rugi jika tidak bersama PN pada PRU-15. Pandangan itu diluahkan sebelum pendirian Umno diumum secara rasmi.
Sekarang apabila Umno sudah nyatakan pendirian, Annuar berkata keputusan mengenai hubungan dengan PPBM mesti ditentukan Umno negeri dan bahagian bukan Umno Pusat semata-mata.
Namun, kata seorang kawan yang rapat dengan pimpinan Umno, “Annuar ni jurucakap PPBM walaupun duduk dalam Umno”, suatu tuduhan yang berulang kali dinafikan Ahli Parlimen Ketereh itu.
Apa pun, Umno Perlis menggambarkan ia tidak mahu mematuhi keputusan Umno Pusat. Tetapi, setakat ini, Umno Perak dan Johor setuju Umno tidak bekerjasama dengan PPBM pada PRU-15.
Wan Saiful pula, dalam wawancara dengan Sin Chew daily yang saya sebut tadi, berkata, Pakatan Harapan akan menang jika Umno enggan bekerjasama dengan PPBM pada pilihanraya akan datang. Mungkin ya, mungkin tidak. Tetapi yang umum tahu PH (dan rata-rata pembangkang) sedang bergelut dengan masalah tersendiri.
Apa pun yang pasti, dengan perkembangan terkini PRU-15 akan menyaksikan pertandingan tiga (atau lebih) penjuru di banyak kawasan – sesuatu yang membimbangkan Wan Saiful.
Keputusan Umno untuk tidak menjalin hubungan dengan PPBM bukan sesuatu yang mengejutkan. Malah sudah dijangka. Tidak perlu saya huraikan tanda-tanda dan isyarat yang mendorong ke arah keputusan itu kerana semuanya dihidangkan kepada khalayak secara terbuka.
Bukan rahsia, Umno mahu PAS bercerai dengan PPBM dan duduk hanya dengannya dalam Muafakat Nasional. Akan tetapi PAS pula sehingga kini masih mahu bersama PPBM dalam PN disamping duduk dengan Umno dalam Muafakat Nasional. Maaf cakap – makan dua-dua belah.
“Bagi PAS sudah tentu kalau ia berbaik dengan kedua-duanya, dia dapat untung bersama. Satu kolam air panas, satu kolam air suam, boleh digunakan mengikut keadaan cuaca,” kata penulis buku politik terkenal Mohd Sayuti Omar.
Adakah Umno sudah bosan dengn permainan kayu tiga PAS sehingga ia membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan PPBM kerana PAS masih bermesra dengan parti pimpinan Muhyiddin itu?
Sebelum keputusan itu diumumkan, pun, kita ada dengar Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamad, memberitahu PAS “kamu tidak boleh terus bermain secara selamat dan jangan selalu sangat suka memanipulasi situasi demi kepentingan sendiri”.
Apa yang Jazlan mahu ialah PAS menyatakan pendirian rasmi sama ada mahu bersama Umno dalam MN atau ingin bergabung dengan PPBM pada PRU-15.
Di Terengganu suara lebih keras kedengaran. Umno Terengganu tidak akan beri peluang kepada PAS dan PPBM bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum akan datang.
Ketetapan itu disuarakan ketuanya Ahmad Said yang memutuskan tidak akan berlaku sebarang kerjasama Umno-PAS dalam MN di Terengganu selain menolak gabungan PN negeri.
Pendirian itu dibuat sebelum Umno Pusat mengumumkan pendirian rasmi.
Semua itu sudah terjadi. Sekarang apa pula yang akan terjadi? Kita hanya mampu tunggu dan lihat apa langkah Umno seterusnya. MCA dan MIC, rakan Umno dalam BN tidak setuju hubungan dengan PPBM diputuskan pada PRU kelak. Adakah mereka akan keluar BN dan masuk PN?
Begitu juga apa pula tindakan PPBM? Apa yang mahu dilakukan PAS? Apa nak jadi dengan MN?
Sekali lagi saya mengemukakan pandangan Sayuti, tetapi perlu dimaklumkan ketika saya bercakap dengan beliau, Umno belum membuat keputusan rasmi seperti yang diumum tempoh hari .
Namun ketika itu pun, Sayuti sudah menjangka Umno tidak akan bersama PPBM/PN pada PRU15. Beliau juga merasakan Umno tidak akan bersama PAS menerusi MN.
Kata beliau, mungkin akan timbul masalah buat Umno tetapi dalam situasi hari ini, keputusan itu dikira terbaik “apabila ia kecewa dengan PAS di Terengganu dan Kelantan dan kecewa dengan PPBM yang dianggap merampas hak dan tidak menghormatinya kerana menerima beberapa wakil rakyatnya yang berpaling tadah”.
Lantas, kata Sayuti, ini membuka peluang kepada Umno mencari formula baharu untuk bersepakat dengan PH.
“Cuma timbul personal apakah Umno sedia untuk akur dengan kehendak PH yang nyata lebih kuat atau berpengaruh daripada Umno jika dilihat dari bilangan kerusi,” kata beliau.
Politik dengan seribu kemungkinan tanpa dibatasi lojik.
Saya akhiri artikel ini dengan mengulangi perkara kedua yang terkandung dalam surat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, kepada Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, bahawa “Umno berpendapat, kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen”.
Maknanya menteri dan timbalan menteri Umno yang ada dalam kerajaan boleh terus pegang jawatan masing-masing sehingga Parlimen dibubarkan.
Namun bila itu berlaku, adakah antara mereka yang kini selesa dengan kedudukan mereka sejak Langkah Sheraton tahun lalu, akan melompat kepada PPBM dan bertanding PRU-15 sebgai calon parti itu?
Satu lagi persoalan – dengan keputusan rasmi Umno ini, adakah Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini sudah menarik sokongan daripada Muhyiddin akan kembali menyokongnya?
Atau mereka kekal dengan pendirian mereka? Atau mungkinkah ada Ahli Parlimen Umno lain yang akan mengambil langkah sama iaitu menarik sokongan daripada Muhyiddin jika Parlimen bersidang, sekali gus memperlihatkan cubaan terbaru menggulingkan perdana menteri dan kerajaannya?
Cukup di sini buat kali ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.