`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 16, 2021

Bila PM mengaku duit dah kekeringan

 

Baru-baru ini Perdana Menteri menyertai perayaan Vaisakhi. Namun pada majlis perayaan yang membawa kegembiraan kepada masyarakat Sikh, Muhyiddin Yassin membawa khabar tidak begitu gembira. Suram dan muram sebenarnya.

“What I am trying to say here, we don’t have much money left”. Atau “apa yang saya cuba katakan di sini ialah kita tak ada banyak wang lagi yang tinggal”.

Itu pengakuan Perdana Menteri di hadapan masyarakat Sikh yang hadir. “Kita” maksudnya kerajaan .

Adakah beliau membuat pengakuan demikian sebagai “pendahulu kata” bahawa kerajaan tidak akan lagi memberi peruntukan kepada masyarakat Sikh (kalau beri pun jumlahnya kecil)? Supaya mereka tahu apa yang akan terjadi dan faham mengapa langkah itu diambil?

Tidak. Kerana meskipun berkata kerajaan sudah “tidak ada banyak wang yang tinggal”, Muhyiddin berjanji memperuntukkan RM3 juta untuk semua kuil Sikh di negara ini. Jumlah ini melebihi peruntukan tahun lalu. Di samping itu beliau juga mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Majlis Gurdwara Malaysia untuk membina pusat Sikh.

Jadi mengapa beliau kata kerajaan “don’t have much money left”? Untuk memberitahu rakyat khususnya masyarakat Sikh walaupun tidak ada wang kerajaan tetap menolong? Mungkin ya.

Namun yang jelas ialah ini. Kata Muhyiddin, kerajaannya telah membelanjakan banyak wang iaitu lebih RM600 billion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan. “That’s a lot of money,” katanya.

Sebabnya? Covid-19. Wang itu, menurut beliau, adalah untuk bantu rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Oleh itu, pengakuan Muhyiddin tentang kekeringan wang kerajaan boleh dilihat sebagai satu “laungan” bahawa kerajaan pimpinannya tidak teragak-agak membelanjakan jumlah besar wang semata-mata untuk bantu rakyat.

Apa yang beliau ingin sampaikan ialah kerajaannya berkorban dan belanja wang sehingga kantung hampir kering hanya kerana rakyat. Selaras dengan naratif kerajaan perihatin. Saya kira ini satu strategi yang bijak.

Beberapa hari kemudian, ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan sempena Ramadan, Muhyiddin mengulangi pendedahan mengenai situasi kewangan kerajaan yang menyedihkan.

Lalu beliau menggalakkan penjawat awam (maksudnya kakitangan kerajaan) berwakaf melalui potongan gaji bagi meningkatkan tabungan dan aset sekali gus membantu ekonomi negara.

Menurut Sinar Harian, cadangan itu “kelihatan munasabah”. Andai 800,000 orang iaitu separuh sahaja daripada 1.6 juta penjawat awam berwakaf RM10 sebulan, maka jumlah terkumpul adalah sebanyak RM8 juta sebulan atau RM96 juta setahun.

Perdana Menteri sekarang mahu semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan serta agensi peringkat persekutuan memainkan peranan dalam menggalakkan pegawai dan kakitangan berwakaf.

Cara “menggalakkan” tidak diperinci tetapi menurut Muhyiddin, Ketua Setiausaha Negara telah meluluskan Pekeliling Am Bil.1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan negeri.

Bagaimana, saya terlihat satu hantaran di Facebook yang berbunyi: “kerajaan ini pandai. Dia nak potong gaji kakitangan awam tapi perlu cari idea supaya tidak nampak macam potong gaji.”

Kenyataan perdana menteri dilihat ‘preliminary’ apa yang bakal berlaku. Sekadar ‘test water’ dulu, tengok reaksi kakitangan kerajaan khususnya CUEPACS. Sekarang Muhyididn kata ‘galakkan’. Nanti secara ansur-ansur jadi ‘wajib’. Fakta atau tuduhan melulu?

Sinar Harian mengingatkan, galakan berwakaf ini tidak sepatutnya menyebabkan kerajaan alpa daripada terus membantu rakyat di samping mencari sumber sumber baharu pendapatan negara.

Penjawat awam yang diminta berwakaf, kata Sinar Harian, “bukan semuanya kaya raya”. Apatah lagi, menurut CUEPACS, kira kira 800,000 penjawat awam mempunyai pendapatan bawah garis kemiskinan RM2,208 sebulan.

Tiba-tiba saya terbayang kisah ini pula – membabitkan diri saya sendiri.

Bayangkan saya selaku ketua keluarga mendapati kantung kewangan yang saya kendali kekeringan kerana sejumlah besar wang telah dibelanjakan untuk kegunaan dan kelangsungan hidup keluarga.

Wang untuk menampung anggota keluarga membeli pakaian, makanan, menanggung kos pengangkutan, mendapat rawatan perubatan ketika sakit, dan meringan beban apabila dihimpit keadaan. Macam-macam lagi.

Tetapi sekarang, wang sudah hampir habis. Sejumlah besar sudah dibelanjakan. Perlu ditegaskan sekali lagi wang digunakan ke jalan kebaikan bukan untuk berjoli dan berfoya.

Adakah anggota keluarga akan memuji saya? Mungkin ya kerana saya berbelanja besar untuk tolong mereka. Mungkin tidak, kerana itu kata mereka sememangnya tanggungjawab saya selaku ketua keluarga.

Yang pasti, tentunya saya boleh atau akan dituduh tidak cerdik ekonomi, tidak tahu urus perbelanjaan kerana berbelanja melebihi kemampuan walaupun belanja untuk tujuan baik terutama pada waktu kecemasan . Di soal mengapa tidak pastikan wang terus mengalir ke tabungan meskipun ketika perbelanjaan dibuat. Seribu satu tuduhan dan persoalan lagi.

Tentunya, paling utama mereka mahu tahu apa yang akan saya lakukan supaya tabungan diisi semula dan tidak dibiar kekeringan sehingga kosong.

Sementara itu difikir dan dilaksanakan, mereka mahu tahu apa yang saya akan buat untuk memastikan perbelanjaan untuk mereka tidak terjejas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.