`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 16, 2021

Video judi tema raya: PKR, PAS desak kerajaan bertindak tegas terhadap kasino dalam talian

 

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR mendesak menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk daripada PAS, supaya prihatin dan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat kasino dalam talian, GDBet333, yang mengajak orang ramai berjudi dalam satu klip lagu Raya yang dikeluarkan olehnya.

Fuziah Salleh yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) berkata, GDBet333 mengeluarkan iklan Hari Raya dengan mengajak umat Islam berjudi untuk mencari dana balik kampung serta beraya.

Katanya, tindakan itu sungguh menyinggung sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas pengeluaran lagu itu oleh GDBet333 yang jelas melanggar Akta SKMM.

“GDBet333 mempromosikan syarikatnya sebagai syarikat kasino online dan cuba mempengaruhi umat Islam yang menggunakan media sosial supaya berjudi selepas berpuasa pada bulan Ramadan semata mata untuk berhari raya.

“Ini amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih daripada dosa.

“Ini kerana bulan Ramadan juga adalah masa untuk memperoleh maghfirah atau keampunan daripada Allah,” katanya dalam kenyataan.

Fuziah berkata, iklan GDBet333 itu boleh dikira sebagai menghasut umat Islam, terutama anak muda supaya “melakukan dosa”.

Terdahulu, sebuah iklan yang mempromosikan aktiviti perjudian dengan menggunakan lagu Hari Raya Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen gara-gara menyinggung sensitiviti umat Islam.

Iklan dikeluarkan oleh syarikat judi, GDBet333, berdurasi dua minit itu turut dikecam kerana menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam.

Ia mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat bagi mencari dana untuk berhari raya.

Antara petikan iklan tersebut berbunyi: “GDBet333 ada, apa nak tunggu, marilah cuba, untung nasibmu, engkau berjaya, cuci semua, kemudian beraya”.

Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut mendesak kerajaan lebih tegas dan efektif dalam membendung penularan video iklan syarikat judi itu.

Pesuruhjaya PAS Wilayah, Azhar Yahya berkata, tindakan syarikat judi itu bukan sahaja mengganggu keharmonian awam pada Ramadan, malah sangat jelas bertentangan dengan undang-undang negara ini.

“Mengapa perlu mengambil masa terlalu lama untuk menanganinya?

“Dalam tempoh darurat ini, sewajarnya tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk lebih efektif dan efisien membanteras aktiviti perjudian dalam negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.