PETALING JAYA: Kewujudan golongan ekstremisme dan fanatisme agama menyebabkan usaha memupuk toleransi antara agama dan budaya di negara ini bertambah sukar, kata Salleh Said Keruak.
Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu bagaimanapun berpendapat, toleransi dan perpaduan masih boleh dikukuhkan melalui beberapa cara termasuk menerusi ruang dialog sihat untuk meredakan prasangka dan memupuk semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Dialog ini boleh dilakukan melalui pelbagai medium seperti ceramah keagamaan, wacana akademik atau seminar serta penganjuran dialog muhibah antara agama.
“Ia amat penting bagi memberikan penjelasan mengenai prinsip kepelbagaian agama dan budaya kepada masyarakat dan memberi kefahaman lebih baik bahawa pentingnya memastikan perpaduan dan kehidupan yang harmoni, agar dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan,” katanya dalam catatan blog terbaharunya hari ini.
ADUN Usukan itu berkata, dalam bidang pendidikan, subjek umum seperti tamadun Islam, tamadun Asia serta hubungan etnik boleh menjadi kursus wajib kepada pelajar universiti awam dan swasta di Malaysia.
Katanya, ia satu pendekatan wajar kerana memberi pendedahan pelajar mengenai perbezaan tamadun dan agama yang wujud serta menjelaskan dialog antara tamadun bagi mengelakkan konflik.
Dalam pada itu katanya, sikap toleransi yang tinggi adalah kekuatan sebenar kehidupan harmoni terutama ketika negara sedang menghadapi pelbagai isu dan cabaran yang melibatkan kaum dan agama.
“Toleransi bukan sahaja akan membawa kepada kekuatan dalam hubungan antara kaum, agama dan latar belakang sosial, tetapi juga dapat mempromosikan kehidupan yang harmoni di Malaysia.
“Kesinambungan harmoni ini jelas kelihatan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia, walaupun mereka berasal dari latar belakang sosial, agama dan etnik yang berbeza, namun mereka dapat bersama-sama dan benar-benar menikmati cara hidup Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia terdiri dari masyarakat berbilang agama dan budaya serta kaya dengan kumpulan etnik yang mempunyai pelbagai dialek dan budaya.
“Justeru, keamanan dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.