PETALING JAYA: Sebarang tuduhan yang dibuat terhadap penganut Kristian mesti berasas, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
Tindakan membuat kesimpulan umum bertentangan dengan undang-undang Islam, tambah beliau.
Mengulas mengenai sebuah buku yang mendakwa mendedahkan agenda Kristian terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), beliau berkata, seluruh komuniti Kristian boleh dianggap jahat sekiranya dakwaan terbabit tidak dibuktikan.
Beliau mengakui ada sesetengah penganut Kristian yang “secara agresif mempromosikan” kepercayaan mereka, dan cara terbaik untuk menangani perkara ini adalah melalui dakwah.
Beliau berkata, oleh kerana orang bukan Islam dilarang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam, maka orang Islam boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melakukannya.
“Jika ada penganut agama lain (selain Islam) yang melakukan ini, undang-undang harus dilaksanakan,” kata beliau.
Kata beliau, bukan semua penganut Kristian terbabit dengan gerakan evangelisme, malah ramai yang menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.
“Saya percaya ada penganut Kristian yang ingin hidup bersama-sama secara aman dan damai.”
Menurut Mujahid, penganut Kristian dan orang Yahudi, dianggap sebagai “Ahli Kitab”.
Kata beliau, menurut Al-Quran, penganut Kristian lebih dekat dengan umat Islam berbanding orang Yahudi dan musyrikin.
Meskipun demikian, kata beliau, Islam memberikan panduan kepada umatnya yang tinggal dalam komuniti yang pelbagai dan “meletakkan garis batasan antara musuh dan rakan”.
“Bagi mereka yang menindas umat Islam atas nama agama, membunuh orang Islam dan mengusir mereka dari rumah, mereka adalah musuh.
“Bagi mereka yang menghormati dan tidak membenci orang Islam, mereka adalah teman yang patut dihormati,” kata beliau.
E-buku percuma berjudul “Pendedahan Agenda Kristian” yang diterbitkan MAIS pada 2014, juga boleh dimuat turun di laman sesawang agensi berkenaan, selain salinan dalam bentuk PDF dikongsi di aplikasi WhatsApp.
Buku digital itu mengupas tentang gerakan evangelisme dan usaha mengkristiankan orang Islam, khususnya di Selangor.
Buku 120 muka surat itu membuat beberapa kesimpulan yang antara lain menggesa umat Islam untuk berwaspada terhadap “musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam”.
Ia juga memberi amaran terhadap golongan yang “berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati dalam kalangan umat Islam”.
Buku itu menyifatkan gerakan evangelisme sebagai salah satu daripada beberapa ciri-ciri mazhab gereja. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.