`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 23, 2021

Putrajaya tak boleh saman Kelantan bagi pihak Orang Asli, kata peguam

 

Peguam G Ragumaren memberi taklimat kepada tiga wakil Orang Asli Temiar pada prosiding mahkamah hari ini.

PUTRAJAYA: Kerajaan persekutuan tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang untuk mengemukakan tuntutan terhadap kerajaan Kelantan atas dakwaan menceroboh penempatan Orang Asli di Gua Musang.

Ini kerana kerana kedua-duanya mempunyai kewajipan fidusiari yang tertakluk bawah undang-undang untuk melindungi Orang Asli, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Khoo Guan Huat, yang mewakili kerajaan pimpinan PAS itu, berkata hak kedua-dua negeri berdaulat itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.

“Mereka bergantung kepada Perlembagaan, terutamanya Perkara 8, mengenai kesetaraan dan perlindungan undang-undang yang saksama untuk membawa kes itu bagi pihak Orang Asli.

“Namun, tuntutan itu tidak menyebut bagaimana kerajaan persekutuan terjejas,” kata beliau pada sesi penghujahan di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Lau Bee Lan.

Negeri itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019 yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman tersebut kerana kekurangan lokus standi.

Khoo berkata, kemampuan kerajaaan persekutuan (untuk menyaman) juga bergantung kepada sama ada ia dapat menguatkuasakan remedi yang diperoleh daripada mahkamah.

“Dalam kes kami, kerajaan persekutuan berkata ia boleh melakukannya bagi pihak Orang Asli,” katanya.

Khoo berkata, Putrajaya hanya boleh menggunakan peguam swasta untuk mewakili Orang Asli dalam tuntutan terhadap negeri itu.

Kata beliau, sekiranya mahkamah rayuan memutuskan bahawa kerajaan persekutuan memiliki kedudukan yang sah dari segi undang-undang, maka tuntutan itu akan menjadi pertikaian antara dua negeri, tanpa melibatkan pihak lain, dan langsung menuju ke Mahkamah Persekutuan.

“Menurut Perlembagaan, hanya mahkamah tertinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar hal berkenaan, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 128,” kata beliau.

Peguam ad hoc persekutuan Gurdial Singh Nijar, dalam jawapannya, berkata Putrajaya mengemukakan saman pada Januari 2019 bawah kerajaan Pakatan Harapan kerana negeri itu telah melanggar tanggungjawabnya terhadap sekumpulan peneroka di Gua Musang.

“Negeri dan agensinya mengeluarkan lesen kepada syarikat swasta untuk menceroboh tanah adat Orang Asli,” kata beliau, sambil menambah, Putrajaya bertindak selaku pemegang amanah penduduk asal untuk bertindak secara proaktif.

Gurdial dan peguam G Ragumaren diberi lesen khas pada 2019 untuk mewakili kerajaan persekutuan dalam tuntutan terhadap Kelantan, pengarah pejabat tanah dan galian, dan pengarah Jabatan Perhutanan negeri.

Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd juga dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut.

Gurdial berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian itu kerana ia adalah kes komersial.

Tambah beliau, hak syarikat swasta untuk didengar dan mengemukakan rayuan akan ditolak sekiranya pertikaian itu ditentukan sebagai antara dua negeri dan didengar di mahkamah tertinggi.

Kerajaan Kelantan dan agensinya telah memberikan lesen pembalakan kepada syarikat swasta, yang membolehkan mereka memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor.

Kawasan hutan yang luas dilaporkan telah dibersihkan untuk memberi laluan kepada penanaman durian dan getah.

Dalam kenyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, Orang Asli Temiar terjejas kerana tanah dan sumber asli mereka diceroboh hingga mengakibatkan hakisan, pencemaran dan kerosakan terhadap ekologi serta landskap Pos Simpor yang tidak dapat dipulihkan kembali.

Lau, yang bersidang bersama P Ravinthran dan Mohd Sofian Abdul Razak, akan memberikan penghakiman pada 3 Jun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.