`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 20, 2021

Pelajar dikompaun tak pakai pelitup muka, exco Perak jamin tiada unsur aniaya

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, berkata semua pelajar yang dikompaun itu masih boleh membuat rayuan bagi mengurangkan jumlah yang dikenakan.

BATU GAJAH: Tiada unsur penganiayaan dalam tindakan terhadap enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun RM1,500 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, berkata pegawai penguat kuasa KKM yang mengeluarkan kompaun hanya menjalankan tugas bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Beliau berkata, semua pelajar yang dikompaun itu masih boleh membuat rayuan bagi mengurangkan jumlah yang dikenakan.

“Saya yakin jumlah pengurangan itu (menjadikannya) seminimum mungkin dan mampu dibayar pihak pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 di Bazar Ramadan Dataran Taman Orkid.

“Jika mereka sampai tidak mampu membayar kompaun, Insya-Allah saya juga boleh membantu untuk menyelesaikannya.”

Kejadian itu tular di media sosial, dan warganet rata-rata mempertikaikan tindakan KKM kerana pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.

Mohd Akmal meminta semua pihak menghormati tugas agensi penguatkuasaan yang bertungkus lumus sejak tahun lalu untuk membendung penularan Covid-19.

“Saya nasihatkan semua pihak supaya bertenang. Perkara ini boleh diselesaikan, tambahan sekarang bulan Ramadan, bersangka baiklah kepada pihak KKM yang bekerja keras supaya kita boleh hidup kembali seperti biasa,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi Twitternya lewat malam tadi berkata, Jabatan Kesihatan Perak sedang menyiasat aduan tular berhubung kejadian itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.