`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 20, 2021

EDICT gesa inkues siasat punca kematian bekas tahanan polis

 

A Ganapathy, 40, dilaporkan meninggal dunia kelmarin selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah NGO menggesa Jabatan Peguam Negara mengadakan inkues bagi mencari punca kematian seorang bekas tahanan yang dilaporkan cedera parah selepas dibebaskan daripada tahanan polis.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) merujuk kes A Ganapathy, 40, yang didakwa dipukul polis ketika berada dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya dipotong, tetapi meninggal dunia kelmarin selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang.

EDICT dalam kenyataan berkata, Seksyen 339 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengadakan inkues bagi mencari punca kematian meragukan.

“Apakah yang berlaku dalam tempoh penahanan tersebut dan adakah pihak polis telah mengambil tindakan munasabah bagi memastikan tahanan mendapat rawatan sepatutnya?

“Adakah terdapat kelompongan dalam tindakan polis selepas mendapati tahanan tersebut cedera?

“Banyak persoalan yang timbul akibat insiden ini. Siapakah pelaku dan bagaimana berlaku, sedangkan mangsa ditahan dalam keadaan sihat,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Ganapathy yang dimasukkan ke Hospital Selayang pada 8 Mac lalu, meninggal dunia pada 10.55 malam Ahad lalu.

Menurut laporan itu, ibunya, S Thanaletchumy, pada 11 Mac lalu membuat laporan polis mendakwa anaknya pernah memberitahu dia dipukul oleh polis dengan paip getah ketika dalam tahanan.

Thanaletchumy dalam laporannya berkata, Ganapathy yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan masalah jantung, berkeadaan sihat ketika ditahan pada 24 Feb lalu bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

Menurut laporan itu, dua hari selepas ditahan, polis menghubungi anak perempuannya untuk membawa ubat diabetes dan sakit jantung, tetapi beliau dikatakan tidak dibenarkan menemui adiknya ketika membawa ubat ke balai polis.

Pada 8 Mac lalu, ahli keluarga Ganapathy menerima panggilan daripada seorang sarjan memaklumkan Ganapathy sudah dibebaskan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Selayang manakala kakinya terpaksa dipotong akibat masalah buah pinggang.

EDICT yang dukacita dengan kematian itu, turut menggesa kerajaan segera melaksanakan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) supaya kes sedemikian dapat disiasat dengan telus.

Mereka turut mendesak penderaan dalam tahanan segera dihentikan kerana budaya kekerasan dan taktik penderaan untuk memaksa suspek ketika disoal siasat tidak wajar jika polis menjalankan tugas dan siasatan dengan baik dan lengkap.

caption
EDICT mempersoalkan polis jika mereka sudah mengambil tindakan munasabah bagi memastikan tahanan mendapat rawatan selepas mendapati mereka cedera. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.