`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 19, 2021

Sabah sasar 280,000 penerima vaksin pada fasa ke-2

 

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, imunisasi Covid-19 mencapai tahap 100% untuk 42,117 petugas barisan depan yang terdiri daripada anggota Kementerian Kesihatan, bukan KKM, dan kakitangan bukan kesihatan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, kerajaan mensasarkan 280,000 penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini hingga Ogos depan.

Jumlah itu termasuk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, orang kurang upaya (OKU), dan golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes serta darah tinggi.

“Sehubungan itu juga, saya sekali lagi meminta rakyat di Sabah supaya mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa kedua ini, khususnya mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Saya berharap kita semua tidak lalai dan leka kerana keadaan pandemik ini tidak stabil.

“Justeru rakyat yang layak menerima vaksin Covid-19 diminta mendaftar untuk mendapatkan suntikan percuma.

Hajiji Noor.

“Ini bagi menyokong usaha kerajaan mengekang penyebaran virus Covid-19 dan membentuk imuniti kelompok.

“Selain itu, paling penting jaga SOP (prosedur operasi standard) dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji berkata, seramai 426,934 orang atau kira-kira 14.60% sudah mendaftar di negeri itu setakat 17 April lepas.

“Bagi tempoh sama, seramai 50,780 orang sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 42,115 orang untuk dos kedua, bagi fasa pertama di negeri ini.

“Sehingga kini juga, kerajaan negeri menyediakan sebanyak 212 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Sabah,” katanya.

Sementara itu, liputan pemberian imunisasi Covid-19 di Sabah memperoleh pencapaian 100% untuk 42,117 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota Kementerian Kesihatan (KKM), bukan KKM, dan kakitangan bukan kesihatan.

Katanya, pemberian imunisasi itu turut diperluas kepada 8,546 anggota perkhidmatan perlu.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Shahelmey Yahya, melancarkan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Golongan berusia 60 tahun dan ke atas antara yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer hari ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.