KUALA LUMPUR: Sindiket pelacuran yang beroperasi di tiga premis di Kepong dikesan menggunakan ‘umpan’ gambar wanita cantik untuk mempromosikan kegiatan tidak bermoral itu di media sosial.
Bagaimanapun, taktik itu terbongkar susulan penahanan tujuh wanita Vietnam selepas polis melakukan serbuan di tiga premis berasingan di kawasan berkenaan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, semua wanita dipercayai pelacur berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam Op Noda pada 8.45 malam.
“Kita juga menahan dua penjaga premis warga tempatan berusia lingkungan 20-an dan 50-an, manakala sebuah lagi premis tiada penjaga,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, modus operandi sindiket pelacuran itu adalah mempromosikan kegiatan berkenaan dengan memuat naik gambar wanita di media sosial termasuk MiChat dan Facebook.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM150 dan RM200 bagi setiap sesi.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap semua wanita warga Vietnam mendapati mereka tidak memiliki pasport,” katanya.
Katanya, polis masih menyiasat sama ada tiga premis berkenaan adalah daripada sindiket sama.
“Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.