PETALING JAYA: Sebanyak lima lagi mayat ditemui berhampiran lokasi kejadian bot karam yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi di Johor, pagi ini.
Mayat tiga lelaki dan dua wanita itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat antara pukul 6.45 hingga 7.46 pagi tadi membabitkan jarak antara 10m hingga 2.5km dari lokasi pengkalan operasi mencari dan menyelamat yang dibuka di pantai terbabit.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor, Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, dengan penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 30 orang, iaitu 14 mangsa terselamat dan 16 meninggal dunia.
“Maritim Malaysia bersama agensi sahabat meneruskan Operasi Carilamat hari kedua bagi mengesan baki lebih kurang 20 mangsa yang masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi hari ini akan melibatkan keluasan kawasan 147 batu nautika pencarian di laut sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) Tegas dan bot Petir 50 Maritim Malaysia serta aset-aset daripada agensi yang lain.
“Manakala pencarian sektor udara seluas 76.5 batu nautika dengan menggunakan sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia,” tambah beliau.
Semalam, pasukan mencari dan menyelamat menemui 11 mayat PATI setakat 3 petang susulan kejadian berkenaan sebelum operasi ditangguhkan pada 7 petang berikutan ombak kuat dan cuaca tidak mengizinkan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.