Kita, manusia semua adalah orang dagang di dunia ini. Ini kerana kita datang dan lahir dari rahim ibu sebagai pengelana, dan tujuan destinasi kita adalah beberapa dunia lain yang belum pun habis kita jalani. Oleh sebab 18 Dis adalah Hari Migran Antrabangsa, saya merasakan ia juga adalah hari yang perlu kita semua merenungi diri. Ini kerana setiap kita saya percaya, adalah migran. Tidak seorang pun terkecuali, baik bumiputera atau utaridputra. Baik dari bumi, atau kejora; semua kita orang dagang. Kita hanya melintas dan menumpang sekejap.
Saya ingin mengisahkan, sebuah kisah benar, baru terjadi. Tentang seorang ustaz, yang kalau di luar disanjung-sanjung masyarakat terbanyak sebagai orang banyak ilmu, syeikhul tarekat (atau mungkin dia terikat?), dan fasih hal-hal sufistik. Tetapi dia terlupa dirinya migran di muka bumi ini.
Ustaz ini lupa dia sendiri orang dagang, jadi memang musibat sungguh apabila ada migran datang menemui saya menangis tersedu-sedan kerana diteriak-teriakkan sebagai anjing, dan babi.
Saya telah menegaskan kita semua migran. Manusia semua pendatang. Bukan saya bilang, tetapi Allah yang menetapkan kita ini hanya orang tumpang. Akan tetapi manusia gemar mencipta-ciptakan konsep-konsep sulit tentang kemanusiaan yang membuatkan kita mengenal pasport, negara-bangsa, menjenis-jeniskan mengikut warna kulit, dan menentukan puterabumi atau tidak. Sampailah kita ikut membahagikan orang itu warga, atau migran.
Konsep migran (justeru migrasi) ini ditelurkan supaya kita berasa selamat. Maka ada migran, ada penghuni. Yang penghuni akan merasa dirinya selamat. Kerana dia mendapat hak-haknya sebagai warganegara. Yang datang, yang dagang, yang tumpang itu migran maka dia diberi hak yang kurang dari hak warga, kerana apa? Kerana dia migran.
Padahal kita semua di mata Tuhan pun penumpang. Migrasi itu satu gejala sejagat. Orang hijrah atau migran untuk mencari kehormatan diri, keselamatan, dan keamanan. Jesus, atau Nabi Isa; Rasulullah saw atau Nabi Muhammad, adalah juga migran.
Tetapi saya tidak begitu fasih sejarah hayat Jesus. Yang saya tahu sirah Nabi. Baginda Nabi migran di Madinah. Muhajirin itu migran. Walaupun sesetengah kita tidak mahu memperakukannya dan mengatakan Nabi Muhammad itu diundang, dan bukan mendatang.
Akan tetapi Nabi memang meninggalkan Mekah kerana diwahyukan bahawa baginda perlu mencari masyarakat yang dapat memberikan baginda kehormatan diri, keselamatan, dan keamanan. Di kota Mekah, meskipun dia anak dan suami orang ternama, dia tidak mendapatkan kehormatan diri, keselamatan, dan keamanan. Ketika Nabi sedang bersembahyang, dia lagi dilontar najis. Di Madinah, baginda diberi perlindungan. Bahkan diangkat.
Pilihan untuk migrasi bukanlah senang. Kadang ada perjalanan itu memang bahaya, malah selalu berakhir dengan tragedi. Kita selalu membaca perihal bot migran Timur Tengah yang terbalik dalam perjalanan menuju ke negara Eropah tertentu di laut luas. Anak-anak migran terapung dan hanyut ke pesisir pantai dalam keadaan terbongkang dingin.
Ustaz memang menampal pelekat bendera Palestina di keretanya. Ini kerana hujah ustaz, orang Palestina itu adalah pemilih sah Palestin, dan dipaksa menjadi penumpang. Ustaz memang jitu jumlah penerbitan akademiknya. Banyak yang Scopus dan ISI meskipun yang banyak-banyak itu ditenggek dan ditumpangi siswa. Ustaz baca kitab-kitab di hujung lidah.
Di kamar tempat kerja ustaz, ada migran yang bekerja. Kisahnya begini; migran ini datang dari Indonesia. Dia diambil oleh sebuah syarikat pembersihan. Sebagai lazimnya (lazim tidak bermakna betul), pasport beliau dipegang oleh majikan. Beberapa tahun kemudian, syarikat tersebut bungkus dan menjual perniagaan kepada individu lain, dan beberapa individu lagi mengambil alih dalam tempoh satu dekad. Pasport migran, si kakak asal dari Solo ini entah di mana.
Bukan tidak pernah dia menghubungi majikan asalnya meminta (jasa baik?) agar pasportnya dipulangkan. Tetapi wang syiling yang banyak di telefon awam tubir jalan berbaziran. Majikan itu sudah entah di mana.
Tanpa pasport si migran sering terancam. Contoh, pada hari gaji dibayar itulah (RM850), akan ada keparat berpakaian seragam datang menyapa di tempat menunggu bas dan mengambil RM750 setelah digertak-gertak mana pasportnya.
Migran dari Solo ini menelan saja keringat yang dikapur itu. Kadang keparat ini datang duduk di pangkin di hadapan rumahnya, dan memesan kopi serta cucur. Macam sebuah kedai yang menghidangkan kebajikan dan juadah percuma.
Si migran dari Solo ini adalah tukang bersih di pejabat Ustaz. Alkisahnya ustaz baru jaga dari tidurnya sekitar pukul 9 pagi. Tidak payah ditanya kenapa dia tidur di pejabat. Si migran bertanyakan apakah mahu biliknya dirapi, dan divakum habuk serta sawang? Dan apakah perlu dicuci pinggan mangkuk maggie dan cucuk sate bekas dua tiga hari lepas yang bertimpaan dalam tong sampah. Tidak payah ditanya kenapa dia makan sate dalam pejabat. Tukang cuci si migran dari Solo sudah terbiasa ustaz yang menyidai spender basah di celah gantungan rak buku di kamar pejabat. Juga, tidak payah ditanya kenapa dia mengampai seluar dalam di pejabat.
Memang cerita ini gila. Saya memang pengarang fiksyen, tapi saya juga pengarang non fiksyen. Tapi ini cerita bukanlah pelik.
Akan tetapi, kerana ustaz masih tidur, si migran dari Solo yang tidak mahu membuang masa menunggu ustaz bangun dari tidur, memilih untuk menyudahkan tugasnya mencuci tandas di aras tersebut. Kemudian di tengah basah licak, dan licin sabun itulah si ustaz meneriak-neriak memanggil-manggil si migran dari Solo agar segera datang mengemaskan biliknya. Sebentar lagi ada kunjungan pelajarnya, pegawai pejabat agama negeri sekian-sekian, malu nanti terlihat kamar itu kotor dan berbau.
Sebaik tiba di muka pintu, ustaz menyembur hamun si migran dari Solo:
‘Bibik kau nak kerja ke tak? Bibik kau pemalas. Bibik kau pukimak. Bibik kau sialan. Bibik kau babi. Bibik kau anjing.’
Si migran dari Solo berfikir begini, betul dia penumpang di semenanjung haram jadah penuh korupsi ini; tetapi dia dilahirkan ibunya sebagai manusia. Dia manusia. Ustaz pun manusia. Dia dagang. Ustaz pun dagang. Dia bukan anjing. Dia bukan babi.
Jarang si migran dari Solo bersuara, hari itu; dia membuka mulutnya: ‘Kalau saya babi anjing, Prof lebih hina dina lagi.’
Mencanaklah rasa marah ustaz. Hilanglah segala kitab, segala hadis, segala zikir dan ilmunya yang dijual kepada orang awam.
Kemudian berlaku kejar mengejar, si ustaz mengherdik dan naik angin lantas memburu si migran dari Solo ini sampai ke tangga dengan seranah dan carut yang makin menjadi-jadi.
Saya bertembungkan si migran dari Solo menangis terjelopok di bawah tangga, di atas alas kotak besar yang biasa dijadikan hamparan tilam untuk dia lena setengah jam pada waktu makan tengahari. Si migran dari Solo menangis sambil mengesat dengan hujung tudungnya yang kusam.
‘Ibu saya lahirkan saya sebagai manusia dengan kehormatan diri. Saya bukan babi dan saya bukan anjing.’ Demikian si migran dari Solo menangis penuh sayu. Hati saya ikut tersiat-siat.
Saya juga memujuk. Saya cuba menyejukkan. Kalau saya perempuan, dia akan saya paut dan saya peluk. Tetapi saya terbatas di situ dan meyakinkan bahawa yang bermasalah bukan dia sebagai migran, tetapi si ustaz yang lupakan dirinya sebagai dagang.
Kes-kisah-cerita dan perangai seperti ini selalu kita dengar dan berlaku di mana-mana. Oleh sebab lingkungan dan kawan saya orang baik-baik, Alhamdulillah, saya akan mendengar kisah bagaimana kami (kawan-kawan dan saudara mara saya) menggunakan segenap kekuatan lisan baik, tangan baik, atau tindakan baik untuk membetulkan keadaan, yakni:
Bahawa migran itu manusia. Dan manusia semua migran.
Tetapi ada orang lingkungannya memang iblis dan syaitan. Ada memang duduk dalam persekitaran pembuli dan penindas. Maka mereka akan bersama-sama dengan ustaz itu, mengganyang migran, menghina orang lain dan seronok membuli orang bawah.
Petang itu ustaz kemalangan di jalan. Allah bayar tunai untuk peringatan. Kenderaannya berlanggar dengan samseng jalanan. Dua tiga orang pembuli jalanraya turun kereta dan menghamunnya, ada macam-macam kata maki selain sial dan celaka, dia juga mendapat Babi dan Anjing.
Akan tetapi manusia yang betul-betul tulen dan sememangnya babi dan anjing; mereka tidak akan pernah mengerti teguran langit. Ustaz itu tidak pernah terfikir bahawa apa yang menimpa adalah pertunjukan dari Yang Maha Berkuasa.
Tak ada empati. Dia kembali ke kamar pejabat, dan kerana hatinya panas baru dipanggil babi dan anjing di jalan, terserempakkan pula si migran dari Solo, dia kembali memanggil perempuan tua itu dengan gelaran babi dan anjing.
Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan lagi. Saya lelah memberitahu manusia lain, kita semua migran. Maka sebagai ingatan 18 Disember itu hari migran antarabangsa, saya menuliskan ini. Saya pesankan sekali lagi:
Bahawa migran itu manusia. Dan manusia semua migran. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.