`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 9, 2021

Jeffrey, Shafie ‘perang mulut’ mengenai perjanjian kredit karbon

 

Jeffrey dan Shafie ‘perang mulut’ mengenai perjanjian kredit karbon di sidang DUN Sabah, hari ini.

KOTA KINABALU: Sidang DUN Sabah, hari ini, ‘panas’ selepas berlaku ‘perang mulut’ antara Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dan Ketua Pembangkang Shafie Apdal berhubung perjanjian kredit karbon yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Pertikaman lidah itu bermula apabila Jeffrey dalam ucapan penggulungannya mendakwa projek berkenaan telah dimulakan Warisan ketika mereka memerintah negeri berkenaan, sebelum ini.

”Perkara ini (perjanjian kredit karbon) diluluskan oleh Kabinet. Kabinet telah memberi kuasa kepada Ketua Menteri untuk menjalankannya, dan Ketua Menteri telah memberi saya tanggungjawab untuk merealisasikannya.

”Saya mempunyai locus standi untuk menjawab soalan ini, tetapi kalau yang berhormat Senallang (Shafie) ingat, perkara ini dalam kerajaan kamu, kerajaan Warisan telah memulakan projek ini tapi tidak sempat melaksanakannya kerana kalah,” katanya.

Ucapan Jeffrey itu kemudian dicelah oleh Shafie yang mengatakan perkara itu tidak benar.

”Kamu (Jeffrey) salah, perkara ini dibawa kepada pengetahuan saya oleh Dr Richard Gunting, pengerusi Sedco (Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah). Lepas itu bila kemukakan dengan saya, saya tolak, saya tahu apa implikasinya kepada negara kerana ia membabitkan tanah,” kata Presiden Warisan itu.

Jeffrey kemudian berkata, ”bererti yang berhormat Senallang sudah tahu perkara ini” namun dibalas oleh Shafie ”saya tahu tapi saya tolak”.

Timbalan Speaker Ahmad Abdul Rahman kemudian terpaksa masuk campur bagi mereda keadaan dengan meminta Jeffrey dan Shafie tidak meninggikan suara apabila berucap.

”Kita jangan sampai ini macam monolog, dua orang bertikaian. Ini dewan yang mulia, semua ahli-ahli yang berhormat ada di sini, jadi kalau boleh suara itu jangan tinggi. Tolong… kita semua matang di sini,” katanya.

Terdahulu, Jeffrey dalam ucapannya meminta Shafie menarik balik perkataan ‘menjual tanah’ seperti yang dikatakan dalam perbahasannya berkaitan perjanjian kredit karbon, tempoh hari.

Bagaimanapun, Shafie enggan berbuat demikian sebaliknya meminta Jeffrey menjelaskan sama ada kerajaan telah memutuskan perkara itu dan siapa yang mengendalikannya.

Jeffrey berkata, kerajaan telah bersetuju membuat perjanjian dengan firma Singapura, Hoch Standard Pte Ltd, untuk mengendalikan projek berkenaan.

Ahmad kemudian menegur Jeffrey kerana ‘bermain kata-kata’ dan tidak menjawab secara terus soalan yang diutarakan Shafie.

Di akhir penggulungannya, Jeffrey kemudian meneruskan ucapan tanpa memberi laluan kepada orang lain untuk mencelah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.