`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 9, 2021

Kembali ke Parlimen, perjelas kenyataan berbeza mengenai Thaipusam, Guan Eng beritahu Halimah

 

Lim Guan Eng mendakwa Halimah Sadique bertindak mendahului Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam membuat kenyataan memandangkan perkara itu masih belum dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19.

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique didesak kembali ke Parlimen untuk menjelaskan kekeliruan berhubung kebenaran perarakan kereta pedati berhias dan kavadi bagi sambutan Thaipusam.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, Halimah mencetuskan kegelisahan dan kekeliruan kerana memberi jawapan berbeza dalam tempoh kurang 24 jam mengenai pendirian kerajaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ucapara tradisi itu.

Katanya, ketika persidangan Dewan Rakyat pada Selasa, menteri itu memberi jawapan bahawa kerajaan melarang perarakan kereta pedati berhias dan kavadi bagi mengelakkan penularan varian baharu Covid-19, namun keesokannya dalam kenyataan media berasingan, beliau memaklumkan kerajaan belum memutuskan perkara itu.

“Kita mesti pastikan jawapan yang konsisten dan benar daripada menteri, jangan hari ini cakap lain, esok lain pula. Ini tidak beri keyakinan kepada kredibiliti dan kewibawaan kerajaan. (Halimah) kena balik ke Parlimen dan betulkan kenyataan. Kalau tidak kita akan keliru,” katanya di Dewan Rakyat.

Lim mendakwa, Halimah bertindak mendahului Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam membuat kenyataan memandangkan perkara itu masih belum dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 yang turut dianggotainya.

“Saya sebagai ahli jawatankuasa pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri pun belum dibincangkan perkara ini tetapi dia dah buat keputusan. Perkara pokoknya, kenyataan dia bercanggah dengan jawapan yang diberikan di Parlimen. Apakah kedudukan (pendirian) sebenar?” soalnya.

“Saya ahli jawatankuasa (Covid-19) tidak pernah dibawa berbincang, saya harap Speaker arahkan menteri buat satu kenyataan untuk betulkan apa yang dia dah buat. Kita bukan nak cari pasal tapi sekurang-kurangnya bagi maklumat yang betul,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Rashid Hasnon berkata, Pejabat Speaker sudah menerima usul daripada Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang meminta larangan itu dibahaskan.

Bagaimanapun Rashid berkata, usul berkenaan ditolak kerana kerajaan masih belum membuat keputusan rasmi mengenai perkara berkenaan.

“Pejabat Speaker telah terima usul daripada Jelutong tetapi perkara ini akan diputuskan menerusi mesyuarat tiga fasa…pada 13 Dis, akan ada mesyuarat tenaga kerja teknikal dan 14 Dis mesyuarat bersama menteri terlibat, manakala 15 Dis, mesyuarat bersama Perdana Menteri.

“Keputusan akan bergantung kepada ketiga-tiga mesyuarat ini dan kerana itu kita menolak usul ini,” katanya ketika menjelaskan pertanyaan Lim mengenai usul yang dibangkitkan oleh Rayer semalam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.