`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 23, 2022

Ajar pelajar guna kondom perlu diserta penerangan jelas elak salah tafsir

 

Tangkap layar daripada video tular di TikTok yang memaparkan seorang guru menunjukkan cara menggunakan kondom dengan betul kepada pelajarnya.

PETALING JAYA: Demonstrasi penggunaan kondom yang betul, jika tidak disertakan penerangan jelas meliputi pelbagai aspek, termasuk agama, dikhuatiri mengundang salah tafsir, kata Presiden Ikatan Guru-guru Muslim (iGuru), Mohd Azizee Hasan.

Beliau mengulas satu video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang guru menunjukkan cara menggunakan kondom dengan betul.

Azizee berkata, antara langkah praktikal adalah menjemput pakar bersesuaian untuk memberi penerangan berkaitan pendidikan seks kepada pelajar.

“Saya bimbang tindakan guru tersebut, jika difahami dengan cara yang salah akan menimbulkan isu lain pula.

“Ini kerana pelajar sekarang terdedah kepada pelbagai sumber berkaitan seks. Mereka perlu dibimbing dengan cara betul untuk tahu apa patut atau tidak patut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap menyokong pendidikan seks untuk pelajar supaya generasi muda lebih peka dengan masalah sosial yang disebabkan hubungan seks bebas.

Katanya, kaedah pembelajaran dan penerangan berkaitan pendidikan seks harus mengikut kesesuaian agama dan kaum pelajar.

“Pendekatan pengajaran itu perlu disampaikan dengan cara betul bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan pelajar kerana mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama yang masing-masing ada cara tersendiri.

“Kepada pelajar Islam, pendidikan seks boleh diterapkan melalui subjek pendidikan Islam agar mereka mengetahui dengan panduan yang betul menurut syariat.

“Jika tidak diterangkan dengan aspek keagamaan, ia boleh memberi tafsiran lain, khususnya perbuatan zina bukan menjadi satu kesalahan jika menggunakan kondom.”

Terdahulu, menerusi satu klip video 24 saat, pelajar diminta memakai kondom pada alat yang disediakan sambil diperhatikan guru.

Bagaimanapun, video itu mengundang pelbagai reaksi warganet, dengan ada yang merasakan kaedah pembelajaran itu wajar kerana pendidikan seks penting pada zaman ini, manakala ada pula yang beranggapan sebaliknya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.