`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 6, 2022

Elango cipta rekod rakyat Malaysia tertua tawan Everest

 

Pendaki, N Elanghovan berkata kos menawan gunung itu mencecah lebih RM200,000 dan suku daripadanya disumbangkan rakan dan ahli keluarga. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pendaki gunung N Elanghovan mencatat namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Rakyat Malaysia Tertua Mendaki Gunung Everest” pada usia 64 tahun.

Perunding Rekod Kanan MBOR, Edwin Yeoh, menyerahkan sijil berkenaan kepada anak kelahiran Cameron Highlands itu, dalam satu majlis diadakan di pejabat MBOR.

Pesara Tenaga Nasional Berhad itu menjejakkan kaki ke puncak Everest berketinggian 8,849m, pada 9.17 pagi waktu Nepal (11.32 pagi waktu tempatan), 12 Mei.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Elanghovan berkata, usia bukan penghalang untuk beliau mencapai impiannya itu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Rakyat Malaysia, terutama generasi muda mestilah mengambil cabaran dalam kehidupan, tanpa cabaran, kehidupan tidak bermakna. Mesti mempunyai minat mendalam sama ada dalam pelajaran, sukan atau apa saja, turutilah minat itu… antaranya mendaki gunung.

“Di Malaysia, kita mempunyai banyak tempat mendaki, manakala di luar negara terdapat pendakian alpine yang memerlukan peralatan teknikal. Saya nasihatkan semua supaya mempunyai gaya hidup aktif demi kesihatan dan kesejahteraan mereka,” katanya yang mesra dipanggil Elango.

Pemegang rekod itu dalam kategori tersebut sebelum ini ialah Idris Said daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Idris adalah anggota Ekspedisi Everest Persatuan Kembara Negara (PKN) pada 2007 dan melakukan aksi tersebut pada usia 52 tahun. Beliau meninggal dunia pada 1 Jan 2017.

Ditanya tentang bajet mendaki gunung tertinggi dunia itu, Elango berkata, kosnya mencecah lebih RM200,000 dan suku daripadanya disumbangkan oleh rakan dan ahli keluarga, malah beliau juga menjual rumahnya di Shah Alam untuk mengumpul dana.

“Kos mendaki Everest bukan murah, kita kena bayar USD40,000 (kira-kira RM177,000) kepada syarikat di Nepal sebelum bertolak. Daripada jumlah itu, USD11,000 adalah permit, manakala USD29,000 untuk perbelanjaan seperti makanan, logistik dan sherpa. Kami tinggal di Kem Pangkalan Everest, kira-kira dua bulan untuk menyesuaikan diri dan latihan teknikal.

“Ia tak termasuk tambahan USD9,000 untuk pembelian peralatan dan lebih RM50,000 untuk latihan sejak 2014,” katanya.

Ditanya tentang misinya selepas ini, Elango berkata, beliau merancang untuk menakluk semua puncak G7 iaitu tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua.

Selain Everest di Asia dan Gunung Kilimanjaro di Afrika (5,895m) yang dilakukan pada Ogos 2016, Elango berhasrat mendaki Gunung Aconcagua (6,961m) di Argentina, Amerika Selatan; Gunung Denali (6,194m) di Alaska, Amerika Utara; Gunung Elbrus (5,642m) di Rusia, Eropah; Gunung Vinson Massif (4,892m) di Antartika dan Gunung Kosciuszko (2,228m) di Australia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.