`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 15, 2022

Hadi tak dimaklum perjanjian TPM bukan isu besar, tidaklah sampai PAS berpecah, kata pemimpin veteran

 

PAS sejak dulu tidak pernah meminta-minta jawatan dalam kerajaan sebaliknya membantu mencalonkan pihak di parti lain untuk memimpin negara, kata Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat Mahfodz Mohamed. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Akar umbi PAS tidak menganggap isu perbincangan perjanjian jawatan timbalan perdana menteri (TPM) yang hangat diperkatakan ketika ini – termasuk kononnya tidak dimaklumkan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang – sebagai isu besar yang mampu membawa perpecahan serta kekeliruan dalam kalangan ahli parti.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat Mahfodz Mohamed bagaimanapun mengakui isu jawatan TPM itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pusat atau Majlis Syura Ulama.

Katanya, sekalipun benar ia berlaku, perjanjian bagi jawatan TPM mungkin hanya melibatkan beberapa pimpinan parti bersama rakan komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk kerajaan campuran pimpinan Ismail Sabri Yaakob. Sehubungan itu, ia tidak dihebohkan kerana lebih menjurus isu strategi politik.

“Isu soal pemimpin membelakangi presiden dalam membuat perjanjian juga tidak berbangkit sebab pucuk pimpinan atasan semestinya telah dilantik oleh presiden untuk mewakili PAS berunding antara gabungan dalam PN…bagi kami dalam PAS ini semua wala’ dan akur apa juga diputuskan presiden dan pucuk pimpinan,” katanya kepada FMT.

Katanya, PAS sejak dulu tidak pernah meminta-minta jawatan dalam kerajaan sebaliknya membantu mencalonkan pihak di parti lain untuk memimpin negara.

Ini dibuktikan apabila Hadi sendiri telah menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad; seterusnya apabila presiden Bersatu itu pula hilang sokongan, nama Ismail seterusnya dicadangkan untuk jawatan berkenaan.

Mahfodz berkata, tindakan itu bagi memastikan kerajaan campuran yang memerintah Putrajaya kekal berfungsi dan tidak tumbang.

“Jadi tentang perjanjian TPM jika ada pun ia rahsia politik dan tak perlu diheboh. PAS tak akan mencampuri urusan perjawatan kerana kita nak perpaduan ummah dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan beberapa pemimpin PN membuat perjanjian bagi jawatan TPM seperti didedahkan Muhyiddin tanpa pengetahuan Hadi akan membawa perpecahan dan kekeliruan ahli PAS.

Sebelum ini, Muhyiddin meminta Hadi merujuk kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang dikatakan individu bertanggungjawab menggubal draf perjanjian antara bekas perdana menteri itu dan Ismail.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas Hadi memaklumkan tidak wujud perjanjian sebegitu dalam PN.

Susulan itu, Takiyuddin mengakui membuat draf perjanjian tersebut, namun dalam kapasitinya sebagai menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, bukan sebagai pemimpin parti. Beliau turut menyatakan ia bukan perjanjian, sebaliknya dipanggil memorandum perjanjian (MoA). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.