`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 3, 2022

‘Jiwa masih dijajah’, Hadi bidas golongan perlekeh BM

 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, sikap golongan ini terhadap bahasa ibunda sendiri menunjukkan jiwa mereka masih dijajah walaupun menetap di negara yang sudah bebas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan pihak yang memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu dalam arus pemodenan dan pembangunan sebagai masih “tidur dalam lamunan zaman penjajah”.

Beliau berkata, sikap golongan ini terhadap bahasa ibunda sendiri menunjukkan jiwa mereka masih dijajah walaupun menetap di negara yang sudah bebas.

“Apa yang paling menarik adanya kalangan mereka yang merasa malu apabila berbahasa kebangsaan dan melecehkan bahasanya sendiri.

“Walhal, kakinya berpijak di sini, tetapi rohnya tersangkut dengan bekas penjajah yang telah memperhambakannya,” katanya dalam kenyataan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Beliau menyebut keadaan di mana Bahasa Inggeris diberi keutamaan, baik di peringkat profesional mahupun awam.

“Mereka berucap dan bermesyuarat dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan melakukan pengumuman di darat dan udara dengan mendahulukan Bahasa Inggeris.

“Bahkan, segala iklan di kedai dan pasar serta nama-nama bandar dan jalan pun dinamakan dengan Bahasa Inggeris, walaupun sasarannya secara majoriti besar tidak tahu berbahasa Inggeris,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kini sudah wujud kesedaran secara umum yang wajib diikuti dengan tindakan bersungguh-sungguh untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

“Jangan pedulikan suara songsang yang mengigau atau kalangan mereka yang gila mahu memaksa Bahasa Melayu ditinggalkan,” katanya.

Sebelum ini, bekas menteri Rafidah Aziz membidas tindakan kerajaan berhubung penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam, termasuk membabitkan urusan rasmi di peringkat antarabangsa.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dipetik berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan tahap kemahiran kakitangan awam dalam penggunaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain yang berkaitan.

Visi dan tumpuan Malaysia pada satu masa dahulu adalah untuk mengukuhkan kedudukan dalam infrastruktur serantau dan global, katanya, dan jika pemikiran “mundur” ini berterusan, negara akan tersisih di peringkat Asean, malah kemajuan akan tersekat.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua urusan luar rasmi kerajaan, termasuk surat-menyurat, mesti menggunakan Bahasa Melayu.

Dalam mempertahankan dasar kerajaan untuk memperkasakan Bahasa Melayu, beliau menggunakan contoh negara-negara seperti Perancis, Jerman dan Jepun yang menggunakan bahasa ibunda dan lebih maju berbanding negara lain. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.