`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 12, 2022

Khemah kenduri diterbang ribut, 4 rumah rosak teruk

 

Video kejadian ribut berdurasi kira-kira 20 saat itu tular di media sejak petang semalam. Kejadian angin kuat dan hujan lebat turut melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah keluarga yang sedang mengadakan majlis kenduri aqiqah di Kampung Jawa, Perai, Butterworth berdepan detik cemas selepas khemah majlis diterbangkan ribut ke atas pokok kelapa yang berketinggian kira-kira 20 meter di hadapan rumah.

Menurut seorang daripada ahli keluarga, Muhamad Hafiz Abdul Halim, 35, keadaan bertukar menjadi kelam kabut dan semua tetamu termasuk ahli keluarga bertempiaran lari menyelamatkan diri ke dalam rumah.

“Ketika kejadian, terdapat kira-kira 30 tetamu yang sedang menjamu selera…syukur Alhamdulillah kami semua selamat, tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa ataupun kecederaan di lokasi majlis,” katanya, menurut Bernama.

Katanya, kejadian ribut itu berlaku sekelip mata dan semua makanan serta minuman yang terdapat di bawah khemah turut jatuh berselerak.

Sementara itu, sekurang-kurangnya empat rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk selepas bumbung zink kediaman diterbangkan angin.

Dalam kejadian ribut pada kira-kira 5 petang semalam, rumah kayu jenis berkembar itu bukan sahaja rosak di bahagian bumbung malah dua daripadanya turut mengalami kerosakan pada dinding luar.

Seorang penduduk, Asrul Affendi, 40, berkata ketika kejadian, tiga daripada empat rumah itu tidak berpenghuni manakala sebuah lagi didiami sebuah keluarga namun mereka tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

“Kejadian ribut itu berlaku sangat cepat, tidak sampai lima minit iaitu bermula angin kuat dan diikuti hujan lebat dan ribut…nasib baik tiga rumah yang rosak itu tiada penghuni dan keluarga yang tinggal di sebuah lagi rumah sempat selamatkan diri mereka,” katanya.

Video kejadian ribut berdurasi kira-kira 20 saat itu tular di media sejak petang semalam. Kejadian angin kuat dan hujan lebat turut melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.