`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 7, 2022

Mahkamah tolak permohonan 31 individu cabar notis kompaun SPRM berhubung wang 1MDB

 

Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Mohammed Hashim menolak permohonan bersama 31 individu terbabit untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan SPRM pada 2019.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan 31 individu untuk mencabar notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan mereka membayar balik jutaan wang 1MDB yang didakwa diterima mereka.

Individu terbabit terdiri daripada ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk Ketua Umno Perak, Menteri Besar Saarani Mohamad.

Hakim Hasnah Mohammed Hashim menolak permohonan bersama mereka untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan SPRM pada 2019, dengan berkata persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukanlah “isu baharu”.

“Permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman ini ditolak,” katanya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili SPRM berkata, mereka tidak meminta kos daripada 31 individu itu.

Hasnah juga tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Tiga puluh satu individu terbabit diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang memberitahu mahkamah, pengeluaran notis kompaun itu adalah “keputusan pentadbiran” SPRM yang boleh disiasat oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Hanir berkata, permohonan untuk mencabar pengeluaran notis kompaun itu dianggap bersifat akademik kerana sudah melepasi tarikh luputnya.

Notis-notis kompaun itu dikeluarkan pada 7 Okt 2019 dan “luput” dua minggu kemudian.

“Mereka juga telah mengguna pakai hak mereka untuk menolak kompaun terbabit dan menamatkan isu itu,” katanya.

Ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya mengumumkan pada 2019 bahawa badan anti-rasuah itu telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti kerana didakwa menerima RM420 juta daripada 1MDB.

Beliau berkata, sembilan individu dan 71 entiti yang terdiri daripada 23 syarikat, 43 organisasi politik dan lima yayasan itu didakwa menerima cek daripada akaun Najib Razak.

Dalam usaha mereka untuk memulakan cabaran undang-undang terhadap keputusan SPRM, 31 individu terbabit mendakwa notis itu bersifat pramatang, mengelirukan dan menjadi satu “tort of misfeasance” di pejabat awam.

Mereka juga memohon perintah untuk menghentikan SPRM daripada menguatkuasakan kompaun atau meneruskan pendakwaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.