`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 21, 2022

Moga dia berubah, saya sokong Nuramira calon tilawah Quran, kata mufti P Pinang

 

Wan Salim Wan Mohd Noor berharap Siti Nuramira melupakan kisah lepas dan membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor akan memberi sokongan kepada wanita yang didakwa menghina Islam, Siti Nuramira Abdullah, 26, sebagai peserta tilawah al-Quran di mana-mana peringkat yang sesuai jika hafalannya bagus.

Wan Salim berkata, terpulang kepada Siti Nuramira sekiranya mahu bertemu dengannya bagi memperdengarkan bacaan tersebut.

“Cuma saya harap dia tidak lagi mengulangi perbuatannya menghina agama Islam seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Semoga dia berubah menjadi penganut Islam yang baik dan taat kepada hukum-hukum agamanya,” katanya kepada FMT.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan pelawaannya kepada Siti Nuramira untuk datang ke pejabatnya bagi mendengar sendiri bacaan 15 juzuk al-Quran.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah tidak mendakwa serta membebaskan Siti Nuramira dengan jaminan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Proses pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan kerana melibatkan tuduhan sama serta hukuman dikenakan di mahkamah sivil lebih berat berbanding mahkamah syariah.

Pada 13 Julai lalu, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail, pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membenarkan Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes berkenaan.

Dalam video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial, wanita berusia pertengahan 20-an itu pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.

Sementara itu, Wan Salim berharap Siti Nuramira melupakan kisah lepas dan membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

“Yang penting adalah kesanggupan kembali ke pangkal jalan setelah menginsafi kesilapan yang dilakukan. Ini lebih baik daripada berlarutan di dalam kebatilan. Inilah harapan dan nasihat saya kepada Siti Nuramira.

“Anggaplah kata-kata ini sebagai nasihat seorang ayah kepada anak sendiri yang inginkan kebaikan untuknya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.