SHAH ALAM: “Selalu orang tengok pelakon saja, sekarang orang mula tengok ‘hidupnya’ set penggambaran”, kata pembantu penerbit sketsa komedi Sepahtu Reunion Live terbitan Astro Warna, Izhaar Rosley.
Katanya, di sebalik set penggambaran yang seolah-olah hidup itu, terlalu banyak komitmen dicurahkan pekerja belakang tabir yang jumlahnya melebihi 100 orang untuk satu-satu episod.
“Ini satu penghargaan bila orang mula perasan kerja belakang tabir. Selalu orang tengok pelakon, penyanyi, orang tengok yang di depan. Tapi yang di belakang sebenarnya masih ramai lagi (berperanan) dalam macam-macam kerja…yang kalau (mereka) tak ada…(persembahan) tak akan jadi.
“Bila orang tengok kat tv, ‘oh…tak bestlah episod minggu ini’. Tapi nilai kerja keras digunakan untuk jayakan sesuatu episod itu, bahkan (kumpulan pelawak) Sepahtu punya komitmen bukan biasa-biasa,” katanya kepada FMT.
Izhaar memberitahu, kru produksi akan berbincang mengenai skrip dan jalan cerita serta set apakah yang perlu dibina. Kemudian, vendor (kontraktor) yang dipilih Astro akan mula mencari bahan dan memulakan proses membina set dalam masa empat hari.
Seorang pembantu produksi, Azzubair Zulkifley, memberitahu proses menterjemahkan skrip kepada set penggambaran agar nampak hidup sangat mencabar.
“Konsep Sepahtu sebenarnya, kita nak bawa realiti cerita itu, bukan hanya sekadar pelakon itu saja berlakon. Kita nak set dia pun macam betul-betul hidup. Contoh ‘setting’ dekat tempat nelayan, dekat jeti ke, memang kita bawa barang-barang (dari jeti)…memang kita bina set tu macam betul-betul hidup.
“Jika skrip minta rumah itu buruk, kita memang kena burukkan ia. Dari segi barang, perabot, tona cat, kayu tu macam mana? Jadi, memang sangat terperinci, itu yang perlu kita fikir. Lantai kena koyak ke atau tak?” cerita Azzubair.
Sitkom itu pernah menjadi bualan warganet selepas menampilkan “props” hidup seperti kambing, ayam, set jeti nelayan beserta pasir pantai dan banyak lagi.
Sepahtu Reunion Live yang dibintangi Jep, Rahim dan Ilya kini memasuki musim kelapan, mempunyai jumlah peminat yang cukup ramai. Penggambaran secara langsung diadakan di Teater Shah Alam menyaksikan auditorium pecah panggung, saban minggu.
Pelakon, Ilya memberitahu FMT, set penggambaran yang seolah-olah hidup banyak membantu dirinya dan ahli Sepahtu lain menjiwai watak dengan baik.
“Dari segi set, ‘props’ dan ‘wardrobe’, itulah yang membantu kita punya persembahan. Sama macam penyanyi. Penyanyi boleh menyanyi dengan baik, tetapi kalau ada muzik yang sedap mengiringi, lebih cantik lagi nyanyian dia. Sama juga dengan kami,” katanya.
Sebelum ini, Sepahtu Reunion Live turut dianggotai Shuib, namun beliau menarik diri daripada program itu sebelum kematian isterinya yang juga penyanyi popular, Siti Sarah Raisuddin akibat Covid-19. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.