PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menemui lima laras senapang angin buatan sendiri yang dilengkapi peluru bebola besi dalam operasi di perkampungan nelayan Kuala Gula, Bagan Serai malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, semua senjata itu dijumpai dalam bot yang dinaiki sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati).
Beliau berkata, pihaknya menyerbu 15 rumah yang dihuni 63 warga asing dan menahan 60 Pati terdiri daripada 23 warga Indonesia dan 37 warga Myanmar tiada dokumen pengenalan sah.
Katanya, semua Pati itu berusia 20 hingga 50 tahun dan terdiri daripada 48 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun.
“Ketika serbuan, 20 Pati cuba melarikan diri dengan menaiki bot ke arah sangkar ikan, namun dapat diberkas, begitu juga kumpulan yang bertindak terjun laut.
“Dalam bot itu, kita temui senapang angin dan merampasnya untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Operasi yang bermula 11.30 malam tadi itu melibatkan 90 anggota dan pegawai Imigresen Putrajaya dan Perak.
Khairul berkata, mereka dipercayai dibawa masuk melalui pertukaran bot di tengah laut dan diambil bekerja sebagai nelayan serta pekerja kilang proses belacan di Bagan Serai secara tidak sah.
Beliau berkata, maklumat dan risikan turut mendapati ada Pati yang menyewa bot daripada nelayan tempatan untuk beroperasi sendiri, yang melanggar syarat lesen perikanan.
Katanya, mereka ditahan di Depot Tahanan Langkap untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) serta 56(1) Akta Imigresen. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.