`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 24, 2022

Permintaan minyak sawit Malaysia akan naik, walaupun Indonesia batal levi eksport

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan memantau perkembangan industri minyak sawit Malaysia susulan keputusan Indonesia membatalkan levi eksport komoditi itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Permintaan ke atas minyak sawit Malaysia akan terus meningkat di seluruh dunia, walaupun Indonesia memutuskan untuk membatalkan levi eksport minyak sawit bagi mengurangkan simpanan stok berlebihan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin.

Beliau memberi jaminan sekiranya kegelisahan pasaran berlaku, ia akan bersifat sementara.

“Walau apa pun, dunia memerlukan minyak sawit. Sudah pasti harga minyak sawit kita menjadi lebih mahal berbanding Indonesia disebabkan mereka mempunyai tenaga buruh dan akses mencukupi. Oleh itu, pengeluaran lebih murah.

“Bagaimanapun, keadaan ini hanyalah sementara. Justeru, saya tidak terlalu bimbang mengenainya,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan Indonesia mengumumkan pengecualian levi eksport ke atas minyak sawit dan produk minyak sawit berkuat kuasa 15 Julai lalu hingga 31 Ogos ini, selepas mengenakan larangan eksport selama tiga minggu.

Kerajaan Indonesia berkata, keputusan itu dibuat untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori tinggi.

Baru-baru ini, Zuraida berkata, kementeriannya optimis China akan meningkatkan import minyak sawit.

Sementara itu, Timbalan Menterinya, Wee Jeck Seng berkata, kementerian itu akan memantau perkembangan industri minyak sawit Malaysia susulan keputusan Indonesia.

Katanya, perkembangan itu akan memberi kesan kepada Malaysia yang merupakan antara pengeluar terbesar produk minyak sawit.

Beliau berkata, perkara itu akan dilihat secara serius kerana ia sememangnya memberi impak kepada eksport minyak sawit negara.

Sementara itu, Zuraida menyuarakan keyakinan untuk meraih eksport sektor agrikomoditi bernilai RM300 bilion tahun ini.

Katanya, kementeriannya mengekalkan sasarannya menjelang penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (Miaces) 2022 selama tiga hari mulai 26 Julai ini di Pusat Pameran dan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di ibu negara.

Sasaran itu lebih tinggi dengan penambahan RM100 bilion berbanding nilai eksport RM204 bilion pada tahun lepas dan RM84 bilion pada 2020, katanya.

“Sasaran itu mampu dicapai dan Miaces akan menyokong usaha itu dan menambahkan lagi sehingga nilai eksport pada 2022 berjumlah RM300 bilion,” katanya.

Zuraida menjelaskan sidang kemuncak itu bakal menjadi platform lebih baik untuk memaparkan pencapaian sektor agrikomoditi, walaupun mengalami serangan dan tekanan dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenai dakwaan buruh paksa.

Acara itu akan disertai 39 negara yang melibatkan penyediaan lebih 200 reruai oleh peserta industri tempatan dan antarabangsa.

Acara pada sidang kemuncak itu antara lain meliputi persidangan, padanan perniagaan, perbincangan meja bulat dan mesyuarat B2B untuk mendapat pendedahan, mengembangkan potensi pelaburan dan memaksimumkan keuntungan produktiviti perniagaan di pasaran antarabangsa.

Berikutan Malaysia menjadi negara tuan rumah bagi acara itu, Miaces dengan tema “Memajukan Agrikomoditi Dalam Ekosistem Lestari” akan memberi tumpuan terhadap sektor minyak sawit, getah, kayu, lada dan kenaf. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.