PETALING JAYA: Najib Razak mempersoalkan keengganan Pakatan Harapan (PH) menarik balik sokongan terhadap memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan kerajaan walaupun gabungan itu menyerang pimpinan Ismail Sabri Yaakob setiap hari.
Bekas perdana menteri itu, berkata gabungan pembangkang bertindak mendakwa pentadbiran kerajaan hari ini antaranya tidak kompeten, korup dan perkauman.
Bagaimanapun, katanya, apabila digesa MoU ditarik, gabungan itu tidak mahu melakukannya.
“Masih mahu sokong kerajaan yang mereka kritik sebagai tak kompeten, perkauman, tak mampu jaga inflasi dan menyusahkan rakyat.
“Giler (gila) ke apa, korang?” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu juga membidas sindiran Barisan Nasional (BN) sebagai ‘Barang Naik’ merujuk kepada kenaikan harga barang yang sedang berlaku.
Katanya, BN tidak ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat walaupun kadar inflasi di kedua-dua negara itu meningkat melebihi 9%, iaitu paling tinggi sejak 40 tahun lalu.
Kerajaan Ismail menandatangani MoU dengan PH tahun lalu untuk bersetuju bekerjasama mengembalikan kestabilan politik dan memberi ruang kepada kerajaan menguruskan pandemik Covid-19, termasuk memulihkan semula ekonomi.
Beberapa penganalisis berpandangan, PH bergantung kepada perjanjian dimeterai susulan kebimbangan pilihan raya lebih awal, dengan beberapa pimpinan Umno termasuk Najib mendesak pembubaran Parlimen segera. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.