`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 25, 2022

Seludup minyak masak peket, 14 syarikat dihadap ke mahkamah

 

Rosol Wahid berkata kementerian akan terus meningkatkan penguatkuasaan, intipan serta sistem audit di semua syarikat yang diberi kebenaran membungkus minyak masak peket. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 syarikat sudah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dengan penyeludupan subsidi minyak masak peket ini ke negara jiran, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosol Wahid.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti bagaimana peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebagai pembungkus minyak peket itu menyumbang kepada masalah ketirisan.

“Kerajaan tidak ada indeks, sehingga kini lebih daripada 14 syarikat telah melalui proses penghakiman di mahkamah berkaitan ketirisan mahupun penyeludupan minyak bersubsidi ini ke negara jiran.

“Kita juga cuba lihat cara bagaimana peranan GLC yang menjadi pembungkus minyak peket ini boleh menyumbang kepada masalah ketirisan ke luar negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.

Rosol berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu berapa banyak syarikat yang didapati menyeleweng subsidi minyak masak peket.

Dalam pada itu, Rosol juga berkata kementerian akan terus meningkatkan penguatkuasaan, intipan serta sistem audit di semua syarikat yang diberi kebenaran membungkus minyak masak peket berkenaan.

“Ketirisan yang berlaku antaranya dikesan daripada syarikat pembungkusan (minyak peket) kepada luar negara dan ada juga pemborong daripada luar negara.

“Dengan sistem audit yang kita buat ini, kita akan dapat lihat di mana berlaku ketirisan tersebut dan ianya akan dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya.  - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.