PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Marang menjatuhi hukuman penjara 14 bulan terhadap seorang suri rumah atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di Marang, Terengganu, 25 Mei lalu.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Suhaini Mohd, 43, yang juga penagih dadah membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan fakta kes, pemilik pasar raya mengesan aksi mencurigakan tertuduh, disyaki mencuri menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pemilik kemudian mengekori tertuduh sebelum wanita itu nekad melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di Hentian Bas Marang, lapor Utusan Malaysia.
Tertuduh berjaya ditahan polis di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, berpandukan nombor pendaftaran motosikal terbabit pada 6 Jun lalu.
Suhaini yang mempunyai empat anak sebelum ini memiliki tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada 2019 dan 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.