`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 22, 2022

‘Terjebak’ sindiket penipuan, ibu dakwa anak dikurung, dipukul di Laos

 

Sembilan lelaki warga Malaysia kini dipercayai menjadi pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan dalam talian di Laos.

KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan, sekumpulan rakyat Malaysia akhirnya “terjebak” sebagai pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan dalam talian.

Sembilan lelaki warga Malaysia itu kini dipercayai berada di Laos dan mendakwa dikurung serta dipukul “majikan” mereka.

Ibu seorang daripada mangsa itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wendy mendakwa anaknya yang berusia 23 tahun itu mendapat pekerjaan di Dubai pada Februari lepas.

Wanita berusia 43 tahun itu tidak mengetahui pekerjaan anaknya, namun sering mendapat panggilan video dan telefon daripada anaknya ketika berada di Dubai.

“April tahun ini, anak ada telefon dan beritahu dia bersama lapan rakannya berada di Laos dan masih boleh dihubungi.

“Saya terkejut pada Jun lepas apabila dia beritahu mahu lari daripada syarikatnya kerana tidak diberikan makanan dan minuman kerana tidak mahu menjadi ‘scammer’ (pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan).”

Katanya, beliau turut menerima gambar yang memaparkan kecederaan dialami anak dan rakannya, serta menunggu anaknya menghubunginya.

Wendy yang bimbang dengan keadaan itu sudah membuat laporan polis dan berharap anak tunggalnya dapat dibantu dan dibawa pulang ke tanah air segera.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut pada Rabu lepas dan satu kertas siasatan telah dibuka.

Sebelum ini, 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai “scammer” oleh sebuah sindiket di Preah Sihanouk, Kemboja selepas terpedaya dengan iklan pekerjaan dan mereka diselamatkan 5 April lepas.

Pada 12 April, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, pihaknya menerima 35 laporan melibatkan 45 rakyat Malaysia yang dipercayai terkandas di luar negara seperti Myanmar, Thailand dan Laos, disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.