`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 13, 2022

284 jemaah haji kumpulan akhir selamat tiba di tanah air

 

Kumpulan akhir jemaah haji tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tengah hari tadi menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8351). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seramai 284 jemaah haji Malaysia yang juga kumpulan terakhir selamat tiba di tanah air hari ini, menandakan berakhirnya Operasi Musim Haji 1443H/2022M.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Azman Mokhtar, berkata kumpulan jemaah itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 1.30 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8351), yang berlepas dari Madinah pada 11.10 malam (waktu Arab Saudi) Jumaat.

“Alhamdulillah, secara keseluruhannya, kami amat bersyukur operasi haji kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini walaupun dalam keadaan endemik Covid-19. Selain itu, keadaan cuaca juga agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius.

“Semua 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas TH selamat pulang ke tanah air menerusi 49 penerbangan haji Malaysia Airlines dan Saudi Arabia Airlines bermula 17 Julai hingga 13 Ogos,” katanya dalam kenyataan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ketibaan kumpulan tersebut disambut oleh Azman bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Amrin berkata, TH akan sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji dan persiapan awal operasi musim haji tahun hadapan (1444H/2023M) akan dilaksanakan segera berdasarkan penilaian operasi tahun ini.

Katanya, TH pada awal tahun ini, telah menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah haji Muassasah sebanyak RM25,540 seorang, namun kos haji sebenar telah meningkat kepada RM28,632 bagi seorang jemaah haji Muassasah.

“Antara faktor kenaikan kos yang di luar kawalan TH ini adalah peningkatan kos bagi perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada, caj tambahan bagi kemudahan baru yang diberikan semasa Masyair termasuklah fasiliti yang disediakan di khemah Arafah dan Mina, seperti kemudahan khemah dan tandas, sajian serta penggunaan bas baru di Arab Saudi.

“Dengan peningkatan kos haji tahun ini, jemaah haji Muassasah kategori B40 menerima Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM17,652 seorang (62% daripada kos haji), manakala jemaah haji Muassasah bukan B40 menerima Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM15,652 seorang (55% daripada kos haji),” katanya.

Menurutnya, bayaran haji untuk jemaah Muassasah B40 adalah sebanyak RM10,980, manakala bukan B40 adalah sejumlah RM12,980 seorang.

Beliau berkata, bagi musim haji tahun 1443H/2022M, jumlah keseluruhan Bantuan Kewangan Haji adalah sebanyak RM185.7 juta dan TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk tahun hadapan melalui pendekatan secara bersasar, bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang memerlukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.