Ada dalam kalangan orang Melayu sejak kebelakangan ini menggunakan ungkapan “harapkan pegar, pegar makan padi”. Katanya untuk menggantikan yang lazim atau kerap digunakan yakni “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Saya bukan pakar bahasa. Lalu tidak layaklah saya untuk mengatakan mana yang betul mana yang tidak. Cuma saya difahamkan Dewan Bahasa dan Pustaka mengekalkan “harapkan pagar, pagar makan pagi “sebagai peribahasa yang membawa maksud “harapan diletak pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkannya”. Dalam lain perkataan secara ringkas – orang yang diharapkan tidak boleh diharap.
Tiga hari lalu Puad Zarkashi, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggunakan peribahasa itu ketika melahirkan pandangan bahawa partinya tidak lagi memerlukan “poster boy” untuk menghadapi PRU akan datang.
Kata Puad, “ ‘poster boy’ tidak boleh mereka yang over perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi”. Siapa yang beliau maksudkan? Puad tidak menamakan sesiapa.
Pada 14 April lalu, MKT Umno (diulangi Puad adalah antara ahlinya) memutuskan sebulat suara bahawa Ismail Sabri Yaakob, naib presiden parti yang memegang jawatan perdana menteri ialah “poster boy” Umno-BN untuk PRU15.
Empat bulan kemudian (lebih tepat pada 24 Ogos 2022) Puad selain menggunakan peribahasa “harapkan pagar pagar makan padi” turut menyuarakan pandangan bahawa hal “poster boy” ini boleh menjadi percaturan yang silap oleh Umno dan akan menjadi senjata memakan tuan, selain menyediakan bola tanggung kepada pembangkang.
Beliau juga tidak jelaskan apa maksudnya, bagaimana hal “poster boy” silap, boleh menjadi senjata makan tuan, dan menghidangkan bola tanggung kepada pembangkang untuk “smash”.
Mengapa atau apa yang membuat Puad berkata demikian dan mengubah persetujuan sebulat suara yang dibuat oleh MKT 14 April lalu?
Yang nyata kenyataan Puad dibuat sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman kes SRC International bekas perdana menteri dan presiden Umno, Najib Razak.
Sehari sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan, Umno memanggil mesyuarat tergempar. Ada laporan mendakwa ia diatur untuk ketua-ketua bahagian mendesak perdana menteri campur tangan ke mahkamah Najib. Itu menurut sumber dalaman dan sudah pun ada penafian rasmi Umno sendiri.
Pun begitu, mengambil kira peribahasa “harapkan pagar pagar makan padi “ yang digunakan Puad, persoalan yang timbul adalah adakah ia berkaitan dengan desakan agar perdana menteri mencampuri kes Najib?
Bagaimana pun pada 23 Ogos, hari Mahkamah Persekutuan membuat keputusannya, Ismail sendiri menafikan ada desakan ke atas beliau untuk campur tangan kes Najib. Pertemuannya dengan pemimpin utama Umno “sekadar” mengenai “mesyuarat Umno bahagian, persediaan parti untuk pilihan raya dan memperkukuhkan parti”, seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebelum ini.
Namun, menurut informasi yang diberi kepada media oleh beberapa sumber Umno mesyuarat tergempar 22 Ogos itu menyaksikan ketua ketua bahagian “sebulat suara” meminta PRU15 diadakan pada kadar “paling segera”.
Reaksi Ismail mudah: “Saya tidak tahu. Saya tidak ada di situ”. Ertinya mesyuarat tergempar berkenaan. Sememangnya beliau tidak hadir walaupun beliau pemimpin “top five” selaku naib presiden dan juga ketua bahagian kerana menjalankan urusan rasmi yang dikatakan dijadual terlebih dahulu.
Pun begitu Ismail menghadiri mesyuarat biro politik Umno di ibu pejabat parti pada malam 24 Ogos yang turut dihadiri Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno; Mohamad timbalannya; serta Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid yang seperti Ismail naib presiden parti. Beberapa pemimpin lain juga hadir.
Sekali lagi spekulasi bertebaran bahawa antara agendanya ialah kes Najib. Tetapi semua yang hadir memilih untuk kunci mulut dan mengelak menemui media selepas mesyuarat lebih tiga jam itu.
Persoalan wajar sekarang ialah apa yang akan berlaku petang ini di Dewan Merdeka. Yang kita tahu setakat ini, Zahid memanggil semua pemimpin parti untuk hadir “taklimat khas”. Selain Zahid, tidak dapat dipastikan siapa lagi yang akan memberi taklimat.
Taklimat mengenai apa? Kata Ahmad Maslan, setiausaha agung Umno, ia berhubung “isu semasa terkini”. Bagi saya, keputusan Mahkamah Persekutuan sabit kesalahan Najib boleh dikira “isu semasa terkini”. Selain PRU15. Malah kedua-dua isu boleh dikaitkan.
Sebaik sahaja Naib dibawa ke penjara Kajang pada Selasa lalu, Zahid mengeluarkan kenyataan menggesa “keluarga besar Umno memberi sokongan dan bersolidariti bersama Najib”. Sokongan secara senyap atau melakukan sesuatu tidak dihuraikan. Pasif atau aktif?
Walaupun beliau menegaskan menghormati keputusan mahkamah, pandangan beliau (serta pemimpin timnya) senada dengan naratif Najib yang mendakwa “tidak dapat keadilan”.
Adakah pentas taklimat akan digunakan untuk memujuk atau menaikkan semangat Umno supaya memastikan nasib Najib “dibela”?
Adakah “keadilan untuk Najib” laungan perang atau “battle cry” Umno menghadapi PRU15? Tentunya Umno akan “mengingatkan” rakyat terutama orang Melayu akan “jasa “ Najib semasa menjadi perdana menteri dahulu.
“Pesanan akhir” Najib , bernada sedih sebelum ke penjara yang ditujukan khas kepada keluarga beliau dimuatkan ke Facebook lantas boleh dikongsi semua.
Adakah Umno akan menjaja apa yang dilalui Najib untuk meraih sokongan rakyat khususnya undi orang Melayu, lebih-lebih lagi jika Ismail setuju PRU disegerakan.
Hampir pasti taktik itu akan digunakan di Pekan Pahang kawasan yang Najib menjadi wakil rakyat untuk sekian lama. Keluarganya mempunyai talian rapat dengan Pekan sejak berzaman. Kemungkinan besar taktik menimbulkan sentimen yang boleh diharapkan untuk mendapat undi.
Bagaimana pula di kawasan lain? Pada peringkat negeri mahupun nasional adakah laungan “keadilan untuk Najib “ boleh mendapat sokongan yang diharapkan? Perlu dingat Najib menghadapi empat lagi kes membabitkan 1MDB di mahkamah.
Persoalan paling penting adakah Ismail akan “diminta dan dinasihati melakukan sesuatu”? Apa “sesuatu” itu agaknya ? Secara peribadi saya merasakan jika Ismail berkempen dengan melaungkan pendirian kerajaan tidak mencampuri apa jua urusan mahkamah, ia boleh menambat hati ramai.
Namun jika kata-kata Puad dengan peribahasa “harap kan pagar pagar makan pagi” dijadikan sandaran adakah itu boleh dilihat “serangan” ke atas Ismail sudah bermula? Adakah ini boleh diibaratkan situasi “lagi terang lagi bersuluh”?
Beberapa pemimpin Umno termasuk pemimpin akar umbi sudah pun menyelar Puad sambil menuduhnya tidak matang. Ada yang menegaskan apa yang dikatakan Puad bukan pendirian parti.
Yang jelas ialah ada tim presiden dan ada tim perdana menteri dalam Umno. Ada penyokong Zahid ada penyokong Ismail. Kita bukan naif untuk tidak tahu akan status ini. Meskipun semua dalam Umno berulang kali memberitahu khalayak tidak ada tim dalam Umno. Yang ada dakwa mereka hanya tim Umno. Enak didengar tetapi realiti sebaliknya.
Apa yang akan dilakukan oleh tim presiden dan apa pula langkah tim perdana menteri?
Adalah ironis jika Najib yang sebagai presiden parti dahulu kerap menasihati Umno agar bersatu, menjadi punca Umno tambah berpecah. Atau dijadikan salah satu sebab perpecahan itu. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.