`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 17, 2022

Ahli perniagaan saman CTOS, CIMB atas dakwaan salah lapor kredit

 

CIMB, dalam pernyataan pembelaannya, berkata Ranjit Kumar Singh telah mengambil kemudahan overdraf bernilai RM15,000 pada 17 Apr 2006, melalui Southern Bank (yang kemudiannya diambil alih oleh CIMB).

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan menfailkan saman terhadap agensi pelaporan kredit dan sebuah bank kerana “salah” menamakannya sebagai peminjam kemudahan pembiayaan overdraf yang didakwa tidak pernah diambil sebelum ini.

Dalam saman fitnah dan kecuaian difailkan di Mahkamah Sesyen di sini, Ranjit Kumar Singh, 46, dari Subang Jaya, berkata dia mendapati kemudahan pembiayaan overdraf sementara bernilai RM128,087 berada dalam rekod CIMB Bank selepas melakukan carian di platform pelaporan kredit, CTOS, tahun lalu.

Beliau mendakwa CTOS dan CIMB menandai kemudahan overdraf itu sebagai akaun di bawah pemerhatian khas (SAA), label yang kebiasaanya diletakkan oleh bank kepada individu kerana pinjaman tidak berbayar.

Ranjit, yang mengusahakan syarikat pengurusan acara, berkata sejak itu, dia disekat daripada mendapat pinjaman atau kemudahan kredit susulan skor kredit buruk dan label SAA.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Dia mendakwa overdraf yang tidak wujud dan skor kredit yang lemah akibat pelaporan kredit palsu mencemarkan nama baiknya dalam kalangan mereka yang berurusan dengan perniagaannya.

Ranjit mendakwa CTOS telah terlibat dalam “pelaporan dan fitnah palsu” dan CIMB didakwa “berkongsi maklumat kredit palsu” kepada agensi penarafan kredit hingga menjejaskan kedudukan kreditnya.

Dakwanya, walaupun menghantar surat berulang kali kepada CIMB dan CTOS untuk mendapatkan penjelasan sejak Ogos lalu, dia tidak mendapat jawapan. Beliau juga telah menulis surat kepada Bank Negara berhubung perkara itu.

Ranjit memohon rekod CTOS berhubung kemudahan overdraf atas namanya dikeluarkan dan dia juga memohon mahkamah memerintahkan CIMB berhenti memberikan maklumat palsu berkaitannya kepada semua agensi pelaporan kredit.

Sebagai tambahan, dia memohon injunksi menghentikan CTOS daripada mengemas kini pangkalan datanya dengan maklumat kredit mengenainya. Dia mendakwa data pelaporan kredit palsu adalah fitnah secara libel.

Ranjit menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, termasuk kos guaman dengan faedah 5% setahun.

CIMB, dalam pernyataan pembelaannya berkata, Ranjit telah mengambil kemudahan overdraf bernilai RM15,000 pada 17 Apr 2006, melalui Southern Bank (yang kemudiannya diambil alih oleh CIMB).

Selepas dia didapati ingkar hampir dua tahun, CIMB membawa Ranjit ke mahkamah dan memperoleh penghakiman ingkar memerintahkan dia membayar RM16,335.31, termasuk faedah.

“Apabila penghakiman mahkamah diperoleh, semua maklumat mengenainya menjadi maklumat awam. Kami juga tidak pernah memberikan sebarang maklumat kepada CTOS,” kata CIMB dalam kenyataan.

Sementara CTOS, dalam pernyataan pembelaan menafikan niat jahat dan berkata, ia memperoleh maklumat kredit melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) Bank Negara, yang seterusnya bergantung pada data kredit yang dibekalkan oleh bank.

“[…] sebarang pengesahan ketepatan (skor kredit) bukan dalam kawalan defendan pertama (CTOS),” katanya.

CTOS juga menafikan dakwaan fitnah, kerana skor kredit tidak diterbitkan atau diedarkan kepada pihak ketiga. Katanya, ia telah mematuhi undang-undang yang berkaitan dengan pelaporan kredit. Ia juga mendakwa telah merujuk aduan Ranjit kepada Bank Negara dengan segera.

Kes itu akan disebut pada 22 Ogos di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan.

FMT telah menghubungi CTOS untuk mendapatkan ulasan, sementara CIMB menerusi maklum balasnya berkata: “Kami tidak boleh mendedahkan atau mengulas mengenai nama atau pelanggan tertentu. Pada setiap masa, CIMB komited untuk memastikan layanan adil untuk pelanggan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.