`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 3, 2022

Banjir di Baling, 9 keluarga dipindahkan di 2 PPS

 

Hujan lebat sejak 6 petang tadi menyebabkan air Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai. (APM Negeri Kedah)

ALOR SETAR: Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan sembilan keluarga di Baling susulan banjir melanda daerah itu.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Mohd Dzulhaidy Khalil berkata, setakat ini, jumlah sebenar mangsa yang terbabit bencana itu belum diperoleh kerana proses pemindahan sedang dijalankan.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah yang dibuka pada 8.30 malam tadi, menempatkan lima keluarga manakala PPS Dewan Tun Abdul Razak yang dibuka pada 9.30 malam, menempatkan empat keluarga.

“Hujan lebat sejak 6 petang tadi menyebabkan air Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir itu pada 7 malam dan setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati beberapa rumah telah dimasuki air.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata, hujan lebat itu menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan Hospital Baling, bagaimanapun tiada kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan setakat ini.

“Beberapa unit kuarters, bilik persalinan dan taska Hospital Baling telah dinaiki air. Keadaan air kini sudah mulai surut dan kerja pembersihan akan dijalankan malam ini dan esok pagi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.