`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, August 19, 2022

Isu tempat tinggal, gaji pekerja asing ‘calar’ imej negara, kata menteri

 

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata majikan yang gagal menyediakan penginapan yang kondusif kepada pekerja asing akan diambil tindakan.

KAJANG: Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengakui imej negara “tercalar” dari segi urus tadbir pekerja asing apabila tempat tinggal disediakan tidak kondusif.

Beliau mengambil contoh negara maju seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura yang mempunyai tempat khas pekerja asing.

“Maka Kementerian Sumber Manusia (KSM) ambil inisiatif membina rumah khas untuk pekerja asing.

“Kegagalan mematuhi Akta 446 merupakan kesalahan utama majikan, iaitu kegagalan menyediakan penginapan yang kondusif juga akan diambil tindakan selepas ini,” katanya dalam bual bicara bersama Majlis Profesor Negara mengenai isu pekerja asing di Malaysia.

Dalam pada itu, Saravanan berkata isu kedua yang mencemarkan imej negara adalah pembayaran gaji yang tidak menepati masa atau gaji pekerja asing tidak dibayar langsung.

Beliau berkata, isu seperti itu akan ditangani kerajaan dengan pelaksanaan sistem e-wages yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Katanya, majikan tidak mempunyai alasan untuk tidak membayar gaji kepada pekerja tempatan dan asing dalam masa ditetapkan seperti diperlukan undang-undang.

“Sistem e-wages akan memastikan semua pekerja di negara ini termasuk pekerja asing dibayar gaji dan upah mengikut masanya seperti dijanjikan majikan mereka,” katanya.

Saravanan berkata, kerajaan juga mencadangkan pekerja asing mempunyai skim simpanan wang untuk 10 tahun tempoh bekerja di negara ini.

Katanya, ia bagi memastikan selepas pekerja asing terbabit tamat tempoh, mereka mempunyai simpanan dan pulang semula ke negara asal.

“Saya lihat ada pekerja asing dari India dan Bangladesh, lepas 10 tahun tiada simpanan dan tak nak balik ke negara asal. Langkah sedang dirancang KSM untuk kurangkan pekerja asing,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.