`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 23, 2022

Kenyataan ‘Zamani Ibrahim’ bukan jenayah, kata polis

 

Ketua Polis Cheras Halim Jamaludin, berkata semakan mendapati kenyataan ‘Zamani Ibrahim’ dimuat naik pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan persendirian pemilik akaun tersebut.

PETALING JAYA: Polis tidak membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Zamani Ibrahim’ memandangkan hantaran dibuatnya hanya pandangan peribadi mengenai politik dan bukan satu jenayah.

Ketua Polis Cheras Halim Jamaludin, berkata kenyataan pemilik akaun itu berkaitan bekas perdana menteri, Najib Razak, pada 18 Mei 2018, sekadar pandangan berunsur peribadi.

Katanya, polis telah menerima aduan daripada orang awam mengenai hantaran itu, pada 18 Ogos, kira-kira 9.30 pagi.

“Semakan mendapati kenyataan ini telah dimuat naik pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan persendirian pemilik akaun tersebut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Zamani Ibrahim ini adalah berunsurkan pandangan politik peribadi semasa dan tidak berlaku sebarang kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Halim berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan berkenaan aduan terbabit kerana ia adalah kenyataan lama yang ditularkan semula menerusi media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar, video serta kenyataan lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Hantaran dibuat pemilik akaun Zamani Ibrahim itu dikatakan suami kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menjadi tular di media sosial.

Hari ini, Najib memohon Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuannya atas alasan suaminya, Zamani Ibrahim, mempunyai “sentimen negatif” terhadap kepimpinannya, yang dinyatakan di Facebook selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Zamani menulis tentang kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 dan didakwa gembira Najib digulingkan.

Mahkamah Persekutuan, hari ini, mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan akhirnya bagi mengenepikan sabitan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Bekas presiden Umno itu diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.