`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 23, 2022

Perubahan politik Dr M bawa Najib ke penjara, kata GTA

 

Dr Mahathir Mohamad diangkat Gabungan Tanah Air (GTA) sebagai pencetus perubahan politik sehingga membawa bekas perdana menteri, Najib Razak, ke muka pengadilan.

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan melibatkan kes SRC International terhadap Najib Razak berlaku hanya disebabkan perubahan politik pada Mei 2018, dipimpin Mahathir Mohamad, kata Gerakan Tanah Air (GTA).

Ketua penerangannya, Nizam Mahshar, berkata kes SRC International antara kes melibatkan Najib dan dalam masa sama berkata masih banyak lagi kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah yang belum dibongkar untuk disiasat.

“Keputusan hari ini juga membuktikan dengan jelas bahawa kepimpinan politik Melayu juga harus melakukan perubahan mendasar. Politik Melayu hari ini sudah seperti disinonimkan dengan politik rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

“Sehingga hari ini, pemimpin-pemimpin politik Umno masih cuba menegakkan pemimpin yang mereka yang korup dan menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Nizam turut berkata, setiap undi merupakan langkah kecil rakyat untuk ”menghantar mereka yang menyeleweng dan menjarah harta rakyat ke penjara”.

“Keputusan mahkamah persekutuan hari ini harus menjadi peringatan untuk kita terus melakukan kerja-kerja pembetulan demi mengembalikan negara serta etika dan moral rakyatnya ke landasan yang betul,” katanya.

Najib tiba di Penjara Kajang pada jam 6.05 petang tadi selepas hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta dikaitkan dengan SRC.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyambut baik keputusan mahkamah dengan menambah kes lain berkaitan Najib juga perlu diselesaikan dengan penuh berhemah seperti ditunjukkan panel Mahkamah Persekutuan.

“Sabitan kesalahan ke atas Najib dalam kes berkaitan SRC International menandakan berakhirnya satu episod gelap dalam sejarah tanah air.

“Ia juga satu permulaan bagi membina kembali keyakinan rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa terhadap sistem kewangan, perundangan dan politik negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.