`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, August 4, 2022

Nancy dan Burberry

 

Memang tak ada apa salahnya Nancy Pelosi ke Taiwan. Seperti saya dan anda, kita boleh ke Taipei bila-bila sahaja, jika mahu. Cuma kunjungan Pelosi itu atas nama sebagai speaker Kongres Amerika Syarikat. Maka ziarah demokrasi (ini katanya niat Nancy) dan kehadiran Nancy itu menjadi sedikit berbeza. Apa yang mungkin kita kurang tahu ialah Nancy mempunyai kekuasaan dan keputusan penuh untuk menentukan apa yang ingin dia lakukan.

Bukan kerana dia perempuan tua dengan susuk dan Joe Biden lelaki renta yang lemah. Akan tetapi kerana struktur pemisahan kuasa di AS memang begitu. Biden mungkin boleh cuba menasihati Nancy agar tidak ke Taiwan, tetapi jika Nancy enggan akur; maka itu kehendak penuh Nancy. Di AS, seorang speaker orang ketiga paling berkuasa selepas presiden dan naib presiden. Tidak seperti speaker di negara kita yang boleh melucu dan melawak.

Saya berpendapat tidak ada salahnya Nancy di Taiwan. Dia juga seperti opah kita, bebas bergerak. Akan tetapi kehadiran Nancy bukan untuk bercuti di Formosa. Dia bukan datang dengan topi piknik, dan bikini untuk bersidai di pantai Qianshuiwan. Nancy mungkin bukan datang kerana mengidamkan Gua Bao, pau kecil sedap Taiwan itu. Barangkali Nancy akan bergambar di hadapan Taipei 101 dari kejauhan, tetapi itu sungguh bukan untuk menarik perhatian penghidap Instagram tentunya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Taiwan sekitar satu jam sahaja dari perairan Okinawa, Jepun. Taiwan juga terlalu hampir dengan Sabah dan Sarawak. Maka kehadiran Nancy di Taipei bukan sesuatu yang sederhana. Ini mengambil kira China memang menagih Taiwan meski Taiwan tidak inginkan China.

Maka apabila Timbalan Menteri Luar China, Xie Feng, memberitahu bahawa “China akan mengambil tindakan balas yang perlu dan tegas, dan kami serius mengenainya,” kita tidak ada pilihan lain, melainkan untuk percaya dengan serius; memang sungguh China akan berbuat sesuatu.

China sangat hampir dengan kita, AS jauh sekali. Kapal perang China akan tiba terlebih dahulu berbanding kapal perang AS. Tiada Maverick akan terbang rendah melipat pesawat di angkasa Kuala Lumpur. Begitu dekat China dengan Malaysia, ekor roketnya boleh jatuh di belakang jamban rumah kita.

Justeru lawatan Nancy ke Taiwan, dengan penuh kedegilan bukanlah sesuatu yang boleh dientengkan. Memang nenek yang degil akan degil, terutama kalau dia ingin meninggalkan satu legasi untuk dikenang. Bahkan kedegilan itu kini disambut dengan beberapa amaran, termasuk tindakan ketenteraan. Ia menjadi lebih mendebarkan kerana Pelosi sebelum lawatannya ke Taiwan ada singgah singkat di Malaysia dan Singapura. Di Taiwan, Nancy Pelosi disambut oleh Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu, sejurus mendarat di Lapangan Terbang Taipei Songshan.

Bukan sekadar itu, Speaker Nancy juga bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, petanda ia kunjungan berprofil tinggi, dan bukan percutian untuk makan-makan. Tidak cukup dengan provokasi tersebut, Nancy memberitahu dunia; kira-kira begini: “Hari ini, dunia berdepan dengan pilihan antara demokrasi atau autokrasi”. Tentu yang dimaksudkan autokrasi ialah China.

Untuk Taiwan; lawatan ini sangat penting kerana ia memberikan legitimasi dan justifikasi politik tersendiri buat Taipei. Taiwan memang mahu menjauhkan diri dari China. Akan tetapi China selaku pembuli mahu Taiwan di bawah ketiaknya. Taiwan padahal mentadbir dirinya sendiri. Kita malah ada para pelajar yang sedang menuntut di Taiwan. Masyarakat Cina Malaysia sering mencari peluang di Taiwan, kalau tidak pun di Singapura. Tidak sukar memahami mengapa Taiwan lebih berusaha mendekatkan dirinya dengan Asia Tenggara. China melihat Taiwan sebagai anak degil yang perlu didisiplinkan, iaitu Taiwan dan China akan disatukan. China tidak pernah melihat Taiwan sebagai satu entiti berasingan. Jika Hong Kong dan Macau juga direbut, atau jika Tibet dan Xinjiang sendiri diketuk; maka tidaklah menghairankan China bakal mengepung Taiwan kelak.

Ia menjadi lebih sukar kerana AS ada berjanji untuk menghormati polisi Satu China yang diutarakan oleh Beijing iaitu Taiwan milik China dan sebarang urusan perhubungan mestilah dilakukan menerusi Beijing. Jadi janji telah dipaukan. AS secara diam memang menjalin hubungan dengan Taiwan, dan China sering mengintai itu semua. AS malah menjual senjata kepada Taiwan.

Soalnya, lawatan Tok Wan Nancy ke Taiwan itu membuatkan kita di Asia Tenggara tersepit antara dua pembuli. Ia membawa kita ke pintu Perang Dingin 2.0 dengan Rusia yang sedang membentuk sekutu untuk mengganyang Ukraine, manakala AS sedang berdepan dengan China. Taiwan bahkan berpotensi menjadi Ukraine kedua di mana Rusia dan China bergabung tenaga untuk menunjukkan ototnya. Dan, Taiwan begitu selangkah dua dengan kita. Nyaris-nyaris Taiwan itu anggota Asean kalau tidak kerana ada China.

Lebih membimbangkan, saya telah menulis beberapa kali di kolum ini; China selalu mengintai dan menghendapkan kita. Pada 2021, 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) lantas menghampiri ruang udara nasional. Wisma Putra di bawah menteri luar ketika itu, Hishammuddin Hussein, yang pernah menyifatkan China sebagai ‘abang long’, sekadar dengan lembik membuat nota bantahan bahawa tindakan 16 pesawat PLAAF itu sebagai ‘pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia’.

Bukan sahaja China tidak mempedulikan kita, kuasa besar pembuli itu malah ikut menceroboh Indonesia secara lebih kerap. Oleh sebab itu, Indonesia di bawah pentadbiran Jokowi yang jauh lebih bermaya daripada kita, menangani keadaan terkini di Laut China Selatan dengan isyarat kuat. Indonesia melihat Laut China Selatan yang semakin “panas” ini memerlukan sebuah stesen bantuan kapal selam di Pulau Natuna Besar. Indonesia tidak setakat menghantar nota bantahan. Menurut maklumat, Indonesia mengusahakan stesen bantuan kapal selam di Pulau Natuna Besar yang dibina di atas tanah seluas 1,050 meter persegi dan dua bangunan seluas 1,008 meter persegi. Turut dibina adalah “Mes Tjiptadi Lanal Ranai” dengan pelbagai fasiliti antaranya bilik bagi anggota kapal selam. Maka dari Pulau Natuna Besar ini, kapal-kapal selam Indonesia boleh dilancarkan untuk menjalankan operasi di Laut China Selatan.

Jika lawatan Nancy menjadi sesuatu yang hodoh nanti sehingga mengakibatkan perang antara Taiwan dan China, tidak syak lagi kita memerlukan pemimpin yang berani, bagus, boleh menyatukan, berwibawa, dan bersedia dalam seragam perang. Tentu, pemimpin dalam baju jenama Burberry tidak memadai. Seorang pemimpin di kala sengketa mestilah bukan model tidak sedar diri kepada brand mewah. Juga, tidak memadai negara kita dengan pemimpin yang pernah memanggil Beijing, ‘abang besar’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.