`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 19, 2022

Sila laksanakan, sila persetankan

 

Malaysia mempunyai jumlah penjawat awam yang terlalu besar. Terdapat pelbagai hitungan angka, akan tetapi kurang lebih penjawat awam kita kira-kira 1.58 juta orang.

Dengan jumlah yang demikian besar, penjawat awam juga boleh menjadi kuasa atau blok berpengaruh untuk menentukan perjalanan negara ini. Apabila saya menyebut ‘menentukan perjalanan negara ini’, saya maksudkan untuk memastikan negara kita bersih dan tidak keruh dengan rasuah dan korupsi.

Dalam erti kata lain, jika penjawat awam cukup patriotik dan ikhlas demi Malaysia, maka mereka boleh atau patut menjadi lapisan yang kuat untuk menolak, bahkan menentang pemimpin atau bos mereka yang bodoh. Yang naik pangkat disebabkan sanggup menjadi pagar orang atasan. Atau, mengajarkan pemimpin atau bos mereka yang korup, tidak cekap, mudah terlelap, dan suka mewakilkan orang ke mesyuarat.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Selalu sebagai pegawai kerajaan, anda akan berdepan dengan momen disuakan memo dengan catatan bertandatangan ‘sila laksanakan’; ‘sila lakukan’; ‘sila pastikan si anu’; ‘sila berikan’. Tarik nafas dalam-dalam, buka minda – jika anda Melayu dan Islam, pastikan anda mendengar pesanan yang malakuti, dan bukan syaitani.

Sebagai penjawat awam terlatih dan pegawai kerajaan yang sayangkan negara dan tidak mahu ia terjerumus ke gaung kehancuran, anda boleh juga melakukan satu perkara yang mudah iaitu; ‘sila persetankan’.

Terdapat dua jurang dekat antara ‘sila laksanakan’ dan ‘sila persetankan’. Jika pemimpin atau bos atas anda menganjurkan sekeping memo ‘sila laksanakan’ dan dengan pertimbangan akal kalian dan logik waras tahu ia bersalahan, atau boleh mengakibatkan negara kerugian, maka tugas anda ialah mendengar nurani hati dan memastikan satu tindakan, ‘sila persetankan’.

Tentu, ‘sila persetankan’ untuk sekeping memo seorang bos yang menilai markah saudara sebagai orang bawahnya adalah jurang dekat yang saya maksudkan. Jika anda memilih setan, maka kalian akan memilih untuk melakukan arahan ‘sila laksanakan’ tersebut, meskipun nanti wang negara hangus. Setan tahu caranya untuk memulas tangan bos anda untuk merekodkan ‘sila laksanakan’ itu, dan setan juga tahu caranya untuk membuat anda akur setia.

Satu cara setan membuatkan anda patuh bagai dirasuk menurut atau membuntutkan ‘sila laksanakan’ itu ialah dengan membisik ke telinga anda; ‘dia bos, nanti dia yang akan bertanggungjawab’; atau yang paling lazim setan lakukan ialah dengan memberitahu di telinga anda agar ‘saya yang mengikut perintah’.

Setan juga datang dengan suara mengancam; kata setan, ‘bagaimana kelak kalau markah anda di hujung tahun rendah dan sukar naik gaji menegak melintang’. Setan datang dengan pelbagai kaedah.

Satu contoh kesetanan yang boleh dielakkan penjawat awam ialah apabila kita kembali ke pentadbiran Barisan Nasional pada 2015. Pada tahun tersebut, perolehan bekalan peralatan yang tidak memenuhi spesifikasi menyebabkan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) mengalami kerugian sebanyak RM840,000, dan ini didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2015, Siri 1.

Menurut laporan itu tiga jenis peralatan yang dibekalkan kepada JPAM ialah 1,010 pasang kasut getah dengan nilai RM68,680 melalui sebut harga, lapan jet ski (RM400,000) dan 64 ‘papan luncur’ bernilai RM371,200.

Adalah dijelaskan pengauditan yang dijalankan ke atas JPAM dari Jun hingga September 2015 itu mendapati pengurusan perolehan bekalan dan perkhidmatan JPAM kurang memuaskan, ini termasuk berlakunya pecahan kecil dalam pengurusan perolehan bernilai RM5.80 juta.

Kelewatan menandatangani kontrak antara 93 hingga 554 hari dan kelewatan mengemukakan bon pelaksanaan antara 4 hingga 70 hari juga mengakibatkan kerugian berjumlah RM0.65 juta.

‘Kecuaian’ kita penjawat awam yang membawa kepada kerugian ini. Ia mungkin bermula dengan memo ‘sila laksanakan’. Ini satu dosa. Dosa akan membawa kita ke neraka. Meskipun yang menandatangani ‘sila laksanakan’ itu orangnya memang pesen 10 hari terakhir Ramadan perlu terbang ke Mekah untuk berpeleseran di depan Kaabah.

Nah itulah jurang dekat antara ‘sila laksanakan’ dengan ‘sila persetankan’. Arahan ‘sila laksanakan’ ini bukanlah titah firman Tuhan kepada Ibrahim agar menyembelih anaknya Nabi Ismail, yang wajib diikutkan saja tanpa pertikaian dan dalih. Kita penjawat awam bukan menerima arahan nabi. Memo ‘sila laksanakan’ itu datang dari manusia yang mungkin berkepentingan, atau mungkin saja cuai, atau mungkin pula memang bertujuan menyakau duit negara.

Justeru, anda sebagai penjawat awam mestilah membantah. Kerja membantah dan menolak ‘sila laksanakan’ inilah bahkan kerja para nabi. Ia harus diimani dan ditekadkan sebagai kerja jihad suci untuk melindungi duit negara dari terbazir, dan lesap hilang di angin lalu.

Dakwah Rasulullah dan para pengikutnya telah ditolak Abu Jahal yang memang akrab dengan Kaabah kerana Nabi Muhammad tidak mahu akur saja untuk ‘sila laksanakan’. Rasulullah malah menerapkan penggunaan akal, dan memberitahu orang Mekah bahawa ada tradisi seperti menguburkan anak perempuan hidup-hidup perlu dipersetankan, dan bukan dilaksanakan.

Apabila anda sebagai penjawat awam mengatakan ‘sila persetankan’ kepada arahan atau memo yang terang-terang bersalahan dan berjahatan, maka anda sebenarnya melakukan sesuatu yang Ilahiyah, iaitu melakukan penolakan dan keengganan atau keingkaran itu dengan niat tidak mahu mengikut setan. Makanya, jurang antara ‘sila laksanakan’ dan ‘sila persetankan’ itu gumpalan akhlak dan falsafah.

Saya tidak menggunakan kata integriti yang lebih canggih kerana kebanyakan penjawat awam kita ialah orang Melayu, dan orang Melayu itu Islam. Maka menggunakan kata akhlak satu ingatan bahawa bila kita bersikap enggan atau berdegil mematuhi sebarang arahan korup dan melanggar peraturan, kita tidaklah salah.

Penjawat awam mestilah berani. Kerana berani itu sifat para nabi. Anda boleh menjadi Mat Kilau di pejabat dengan menolak Mat Sakau yang mungkin membuat keputusan yang boleh meletakkan Malaysia ke lubang laknat yang dalam. Lubang jutaan ringgit.

Saya tahu kebanyakan penjawat awam takut. Kerana sistem kita ini dibentuk oleh orang atas untuk kita sedia berkhidmat tanpa banyak soal, maka ada banyak ketakutan. Antara ketakutan itu ialah ketakutan bahawa kalian akan terhukum, jika tidak mematuhi memo ‘sila laksanakan’ ini. Hasrat untuk bersilat dengan musuh Islam bermula di pejabat kalian. Sebab musuh Islam selepas kebangkitan Nabawi ada juga dalam bentuk golongan munafik. Waima dia mengenakan ketayap melilau-lilau di kementerian.

Putrajaya yang pengundinya merupakan penjawat awam patut menjadi tanda aras ini, menolak munafik dan menolak setan. Maka, bagaimana agaknya penjawat awam perlu melihat seruan perdana menteri baru-baru ini agar golongan ini perlu bersamanya ke arah mencapai kejayaan negara dengan melihat peranannya sebagai ketua kerajaan?

Ya, penjawat awam boleh memilih untuk melaksanakan apa-apa yang tidak meletakkan negara ini ke kecelakaan. Apa-apa seruan kepada al falah boleh untuk kita patuhi. Penjawat awam juga boleh mempersetankan sebarang arahan atau seruan menuju kerosakan, pembaziran, dan kerugian. Mana-mana memo ‘sila laksanakan’ perlu direnung secara Islami. Jika pemimpin politik yang ada hari ini membawa negara kita kepada kemunduran, maka janganlah menjadi bangang teragak-agak untuk menghukum di kotak undi.

Lawan dan persetankan mereka di pejabat. Tidak perlu kalian mempertaruhkan masa depan generasi mendatang. Tidak berbaloi kalian mengikutkan memo ‘sila laksanakan’ kemudian nanti dicambuk malaikat dalam kubur dan kena bakar sekali dengan bos itu dalam tujuh tingkat neraka, iaitu Hawiyah, Jahim, Saqar, Lazza, Huthamah, Wail, dan paling ‘branded’ sekali Jahanam.

Itulah makna kemerdekaan yang bakal menjelang kelak. Tak perlu bertanjak bertakbir dalam pawagam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.