`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 28, 2022

6 tahun ‘hilang secara paksa’, keluarga Amri Che Mat harap bantuan kerajaan baharu

 

Keluarga Amri Che Mat masih mengharapkan keadilan walaupun enam tahun telah berlalu sejak kehilangannya. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Isteri aktivis sosial, Amri Che Mat, yang “hilang secara paksa” sejak 24 November 2016 berdoa semoga suaminya selamat dan kembali ke pangkuan keluarga satu hari nanti, walau dengan apa cara sekalipun.

Norhayati Mohd Ariffin, berkata walaupun kehilangan Amri selepas lebih enam tahun masih misteri, beliau dan anaknya tetap berharap keadilan buat mereka sekeluarga.

Dia juga berharap pentadbiran baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil serius kes kehilangan paksa sepertimana berlaku kepada Amri itu.

“Saya sendiri tidak tahu apa nak dikata lagi, adakah bertukar pentadbiran dapat selesaikan masalah? Harapan saya tetap sama, kami ingin tahu apa sebenarnya berlaku kepada suami dan mengharapkannya kembali.

“Saya berharap sungguh-sungguh kepada pihak atasan, pihak pentadbiran supaya menjelaskan apa perkembangan terkini siasatan berkaitan kehilangan suami,” katanya kepada FMT.

Norhayati berkata, pasukan peguamnya terus menjalankan tugas dengan baik sehingga hari ini, namun keputusan masih belum memihak kepadanya.

Pada Disember 2021 beliau telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memerintahkan pelepasan laporan pasukan petugas khas yang diklasifikasikan Akta Rahsia Rasmi (OSA) mengenai kes kehilangan paksa aktivis sosial itu pada 2016.

Norhayati memohon mahkamah membatalkan klasifikasi OSA bagi mengakses laporan itu untuk mengukuhkan tuntutan saman sivil berkaitan terhadap polis dan kerajaan persekutuan berhubung kehilangan suaminya itu.

Sebelum ini pada 3 April 2019, siasatan awam Suhakam menyimpulkan Amri dan paderi Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan kerajaan, iaitu polis Cawangan Khas.

Dua bulan selepas itu pada 26 Jun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat semula perkara itu.

Susulan itu pada 2 April 2021 kumpulan masyarakat sivil The Citizens Against Enforced Disappearances (Caged) meminta kerajaan mendedahkan laporan pasukan petugas khas itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.