`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 28, 2022

PM tumpu ‘perkara mudah’ dulu, selesai masalah rakyat susah meminjam, kata Zaid

 

Zaid Ibrahim berkata, sejajar dengan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi penekanan kepada golongan susah, ‘perkara mudah’ perlu diutamakan dulu sebelum pelaksanaan perubahan institusi yang lebih mencabar.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim disyorkan memberi keutamaan menyelesaikan “perkara mudah” dahulu sebelum terus melaksanakan perubahan institusi yang agak mencabar, kata bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.

Dua perkara mudah yang dimaksudkan itu membabitkan kemasukan rakyat Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, selain memudahkan proses pinjaman bank kepada golongan bawahan dan berpendapatan rendah.

“Dalam usaha reformasi ini, saya harap Anwar boleh mulakan dengan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kadang-kala bila kita cuba terus lakukan perubahan besar, ketelusan misalnya, mungkin susah sikit.

“Banyak orang-orang yang berkuasa mahupun yang mempunyai kepentingan tertentu, mereka akan rasa terancam. Jadi ketelusan itu agak susah sikit. Fokus perkara mudah dulu,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.

Dalam pada itu, Zaid berkata, Anwar berupaya melakukan perubahan dengan memudahkan pinjaman bank kepada golongan susah serta mengurangkan kerenah birokrasi ketika berurusan dengan institusi kewangan.

“Perdana menteri kata nak bantu orang susah, jadi janganlah agensi ‘regulate’ (kawal selia) kita macam ni. Menyusahkan. Macam-macam peraturan, kalau orang kaya tidak payah jaminan pun dapat pinjaman.

“Angkat telefon bagitahu mereka. ‘Saya nak perubahan ini’. Lepas tu baru kita masuk peringkat perubahan institusi,” katanya.

Zaid ketika mengulas lanjut, sedia maklum berlaku perbincangan antara kerajaan pusat dengan Sabah dan Sarawak untuk pengembalian hak seperti mana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Boleh kah perdana menteri minta kedua-dua negeri itu supaya membenarkan warga Semenanjung pergi sana tanpa keperluan IC (kad pengenalan) atau pasport?” katanya.

Katanya, peruntukan kuasa imigresen bagi kedua-dua negeri itu mengehadkan kemasukan rakyat Semenanjung hampir 70 tahun lalu mungkin ada asasnya, namun beliau tidak melihat keperluan pelaksanaan itu lagi pada masa ini.

“Boleh tak sebagai pertukaran isu besar seperti MA63, kita minta perkara kecil sebegini daripada Fadilah Yusof (timbalan perdana menteri), serta Sabah dan Sarawak. Beri hak sedikit kepada orang Semenanjung ini. Ini negara kita sama,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.