KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangka beberapa kawasan di Pasir Mas, Kelantan dilanda banjir esok, sekiranya Lembangan Sungai Golok terus menerima hujan signifikan.
JPS dalam kenyataan berkata, jangkaan itu berdasarkan makluman ramalan hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan hasil simulasi model ramalan banjir.
Menurutnya, Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Tersang, Kampung Tok Deh dan kawasan sekitarnya berisiko dilanda banjir mulai 12 tengah malam ini, manakala di Lubok Gong, Sungai Golok di Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya mulai 3 pagi.
Di Jeti Danau Tok Uban dan kawasan sekitarnya pula, banjir berisiko melanda mulai 5 pagi, manakala di Kampung Bendang Guchil, Kampung Pengkalan Telok, Kampung Gual Periok dan kawasan sekitarnya mulai 8 pagi.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk, terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.”
Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.