`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 29, 2022

Guna dron seludup tembakau dalam penjara, 3 lelaki ditahan

 

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata tiga lelaki itu disyaki menerbangkan dron menceroboh kawasan Penjara Machang untuk menyeludup tembakau.

PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki dipercayai cuba menceroboh dan menyeludup tembakau dengan menerbangkan sebuah dron dalam kawasan Penjara Machang, Kelantan, lebih dua minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata semua suspek berusia 35 hingga 39 tahun itu ditahan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, dekat Kampung Bukit Belah, pada 12 Dis.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Machang menerima maklumat dari Penjara Machang yang melihat sebuah dron diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara, kira-kira 1.05 pagi.

Katanya, siasatan menggunakan teknologi peranti pengesan mendapati, pengendali dron itu dikesan berada di kawasan berhampiran penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret.

“Polis terus menjejaki lokasi tersebut dan mengesan tiga lelaki tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah SUV jenis Honda CR-V sebelum kenderaan itu dipecut laju,” lapor Utusan Malaysia.

Zaki berkata, polis mengejar semua suspek yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V sejauh 300m sebelum mereka berjaya ditahan.

Katanya, pemeriksaan di dalam SUV itu membawa kepada penemuan lima buah telefon bimbit, dua unit pengecas mudah alih, 20 biji mercun bola, sebilah parang, sebilah badik, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menemui segulung plastik pembalut, satu unit kawalan jauh dron, 13 bungkusan tembakau dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau.

“Sehubungan itu, orang ramai tidak boleh menerbangkan dron tanpa permit Jabatan Penerbangan Awam. Penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.