`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 13, 2022

Kisah 2M – Malaysia dan Maghribi

 

Boleh dikatakan seluruh dunia sudah jatuh cinta dengan Maghribi. Lebih tepat dengan bola sepak Maghribi. Kecuali Perancis yang akan berdepan “the Atlas Lions” Khamis 15 Dis ini pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Bagi Walid Regragui, jurulatih Maghribi, pasukannya bagai “Rocky Balboa” watak ciptaan dan lakonan Sylvester Stallone dalam siri filem Hollywood “Rocky” mengenai peninju “underdog” tanpa ranking tinggi tetapi bekerja keras, punyai komitmen, berani serta ada semangat tidak mengaku kalah lalu muncul juara tinju dunia.

Sebuah cerita rekaan tetapi dilihat sebagai pembakar semangat golongan “underdog” dalam arena sukan, akademik, perniagaan dan sebagainya. Dan kita semua sayang “underdog” dan tumpang gembira apabila mereka mencapai kejayaan. Itu sebabnya “Rocky” dicintai, dan kini Maghribi.

“Maghribi akan menjadi pasukan yang semua orang suka pada Piala Dunia ini kerana kami menunjukkan bahawa walaupun anda tidak mempunyai banyak bakat, jika anda menunjukkan keinginan, hati dan kepercayaan anda boleh mencapainya,” kata Regragui selepas pasukannya menyingkirkan Portugal daripada Piala Dunia Qatar.

Beberapa jam kemudian di tanah air, tular di pelbagai platform media sosial gambar aksi bola sepak membabitkan pemain negara. Antaranya Soh Chin Aun, Santokh Singh dan penjaga gol Chow Chee Keong berdepan beberapa pemain “berwajah Arab”.

Kapsyen mengiringi gambar itu tertera: “24.10.1980. Malaysia 2-0 Maghribi. Stadium Merdeka, Kuala Lumpur”.

Hampir serta-merta tercetus reaksi rakyat Malaysia termasuk kawan lama saya. Bunyi dan mesejnya senada dan seirama: “Ini masa dulu, a long time ago, waktu Malaysia boleh kalahkan Maghribi, jangan mimpilah ini akan berulang, tengoklah berapa jauh kita sudah ditinggalkan, tunggu 90 tahun lagi kita boleh jadi macam Maghribi”. Itu kata mereka. Dan macam-macam lagi. Faham kita akan maksudnya. Malah saya akui saya juga setuju.

Ya, saya masih ingat perlawanan itu pada Pestabola Merdeka 1980. Waktu itu Pestabola Merdeka kejohanan terungggul di rantau Asia. Lazimnya pasukan utama negara Asia dan Asia Barat akan beraksi. Juga ada pasukan wilayah dari Brazil diundang.

Sebenarnya, hubungan “intim” Malaysia dengan Maghribi sudah terjalin sebelum 1980. Yang saya tidak boleh lupakan pertemuan Malaysia-Maghribi pada perlawanan peringkat kumpulan di Sukan Olimpik 1972 Munich. Malaysia tewas 6-0.

Acara bola sepak Sukan Olimpik ketika itu membariskan pasukan kebangsaan utama negara peserta. Bukan seperti kebelakangan ini di mana hanya pasukan bawah 23 tahun diizinkan beraksi. Namun, ia boleh diperkuatkan dengan tiga pemain senior.

Berbalik kepada gambar tular yang diperkatakan tadi. Kemenangan 2-0 Malaysia yang dipaparkan ialah perlawanan peringkat kumpulan. Malaysia dan Maghribi bertemu sekali lagi apabila mereka layak ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1980. Namun kali ini Malaysia kalah 2-1.

Apapun ia menunjukkan kebangkitan Malaysia sejak kekalahan teruk di Sukan Olimpik Munich untuk mencabar Maghribi. Jurang perbezaan dirapatkan. Tidak banyak yang memisahkan kedua-dua pasukan. Hampir sama. Boleh dikatakan setanding. Adakala Malaysia menang adakala Maghribi menang. Dan pasukan yang berjaya pun hanya menang dengan kelebihan jaringan satu gol. Tidak ada kenduri gol.

Komen rakyat khususnya peminat bola sepak Malaysia yang mengiringi gambar 1980 itu menceritakan segala-galanya. Di mana Malaysia sekarang dan di mana Maghribi ketika ini kita tahu.

Benar hanya tiga pemain dalam skuad Piala Dunia 2022 Maghribi dilahirkan di tanah air mereka. Yang lain lahir di negara Eropah. Tetapi apabila mereka dikumpulkan untuk mewakili Maghribi, mereka semua berlatih di negara asal dan dikendali oleh persatuan bola sepak Maghribi. Regragui menjalankan tugas dengan amat baik walaupun mengambil alih pasukan tiga bulan sebelum Piala Dunia.

Seperti kita tahu pada Sukan Olimpik Munich 1972 Malaysia mengalahkan Amerika Syarikat 3-0. Gol jaringan Shahruddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusof.

Tentu kita tidak lupa Malaysia layak bermain di Munich dengan menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina – pada pusingan kelayakan yang diadakan di Seoul. Pada 1980 Malaysia layak ke Sukan Olimpik buat kali kedua. Pada pusingan kelayakan antara yang ditewaskan ialah Korea Selatan sekali lagi.

Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan diulangi Maghribi sudah bermain pada pusingan akhir Piala Dunia beberapa kali. Di mana salahnya Malaysia?

Bagi saya persoalan penting ialah daripada mana datangnya pemain Malaysia masa lalu yang membawa kegemilangan kepada negara suatu masa dulu.

Mereka datang daripada sistem persekolahan. Mereka mewakili sekolah masing-masing pada peringkat daerah, wilayah, negeri. Mereka bermain pada pertandingan demi pertandingan yang mengambil masa berpanjangan. Mereka dilatih oleh guru yang tahu apa itu bola sepak dan berdedikasi terhadap sukan itu.

Pemain yang cemerlang dipilih untuk bermain pada peringkat sekolah-sekolah negeri dan negara sebelum pasukan belia.

Allahyarham Mokhtar Dahari, Chin Aun, Santokh, Zainal Abdin Hassan antara bintang kita yang lahir daripada sistem bola sepak sekolah. Masa itu tidak ada pun sekolah sukan dan akademi bola sepak segala macam.

Sistem seperti itu saya difahamkan sudah lama tidak diamalkan. Pertandingan antara sekolah membabitkan zon dijalankan tetapi semuanya selesai dalam masa seminggu dua. Selesai pertandingan habis cerita.

Pasa masa lalu juga ada liga tempatan di negeri-negeri. Di Selangor misalnya ada liga divisyen satu hingga tiga. Ada juga liga untuk jabatan dan gedung-gedung perniagaan. Keadaan yang sama di Perak, Pulau Pinang dan lain-lain negeri.

Dari pentas liga seumpama itu bakat baru dikesan, dipilih dan digilap untuk diserapkan ke pasukan negeri dan kemudian kebangsaan. Jelas hasilnya dimanfaatkan oleh negeri dan negara. Sistem yang bermula dari peringkat sekolah dan liga menampilkan kelab memastikan “saluran” atau “bekalan” pemain tidak putus yang menyaksikan Malaysia menjadi antara kuasa bola sepak Asia suatu ketika dulu.

Dewasa kini ada juga liga tempatan. Tetapi sejauh mana ia membekalkan pemain berkualiti kepada pasukan negeri yang dibarisi pemain profesional tidak dapat saya pastikan.

Pun begitu adalah tidak adil untuk menuduh pihak berwajib tidak melakukan apa-apa untuk mengembang mutu bola sepak negara. Cuma apa yang dilakukan tidak mencapai hasrat dan matlamat. Mutu bola sepak tidak dapat mencapai tahap pasukan zaman lalu. Mengapa? Itu persoalannya.

Banyak punca kemerosotan mutu bola sepak negara. Saya ingin bercakap hanya mengenai satu aspek.

Jika mahu tahu di mana letaknya kekuatan pasukan bola sepak negara (juga sukan lain) masa lalu atau apa yang dipanggil era emas sukan Malaysia – renunglah senarai pemain. Perhatikan nama-nama mereka yang dipilih mewakili Malaysia.

Maka kita akan nampak nama Melayu, Cina, India, Punjabi, orang Sabah, Sarawak. Malah nama Nepal pun ada. Secara khusus Bahwandi Hiralal mewakili pasukan negara ke Munich ’72.

Mereka semua rakyat Malaysia. Bukan pemain “naturalized”. Semua dipilih berdasarkan kebolehan, kepakaran, komitmen, keberanian dan semangat cinta Malaysia. Masing-masing dipilih “on merit”.

Sayangnya sekarang sesebuah pasukan (bukan saja bola sepak), seolah-olah ada diperuntukkan tempat kepada bangsa tertentu. Ini mainan politik sempit oleh orang politik tertentu untuk kejayaan politik mereka. Juga mainan orang sukan yang berlagak macam orang politik.

Akibatnya, sukan Malaysia dalam kes ini bola sepak Malaysia menderita. Penyokong turut derita.

Kekuatan Malaysia terletak di atas rakyatnya, tanpa kira bangsa dan agama. Itu hakikatnya. Oh ya bukan saja kekuatan sukan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.