`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 16, 2022

KPDN lancar ‘Ops Terjah’ periksa masalah bekalan, harga barangan asas

 

Salahuddin Ayub berkata, objektif Ops Terjah untuk mencari punca utama isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas ketika ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemeriksaan berkaitan masalah bekalan dan isu harga barangan asas yang dihadapi rakyat ketika ini dalam tempoh sebulan di seluruh negara menerusi Ops Terjah.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, Ops Terjah antara lain memeriksa dan memantau masalah itu di premis seperti pasar awam, pasar mini, kedai runcit, gerai penjaja kecil dan kedai makan.

Beliau berkata, pelaksanaan Ops Terjah juga untuk mengenal pasti zon atau kawasan terjejas dengan bekalan dan harga mengikut tahap keseriusannya serta mencari punca utama isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.

“Melalui dapatan daripada Ops Terjah ini, kerajaan akan pastikan rangka kerja untuk tindakan segera dihasilkan. KPDN juga sedang menyediakan pelan strategik jangka pendek dan sederhana berdasarkan maklumat yang kami terima.

“Ini amat penting untuk memastikan kestabilan bekalan barangan asas memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi,” katanya pada sidang media pelancaran Ops Terjah KPDN di sini selepas meninjau premis di sekitar Chow Kit.

Salahuddin berkata, Ops Terjah melibatkan 2,200 pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara yang akan melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan asas.

Katanya, KPDN juga akan mempertingkatkan keberadaan penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna, termasuk menggunakan Van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR) serta kereta peronda bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah beretika.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengoptimumkan pengoperasian bilik gerakan KPDN bagi memastikan kepentingan dan aduan pengguna dapat ditangani segera.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDN. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.