PETALING JAYA: Seorang lelaki bertelekung dalam sebuah video yang tular sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit jemaah wanita di dua masjid, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Rezali, bagaimanapun mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan sosial tertuduh.
Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa melakukan curi dalam bangunan dengan melarikan dua telefon bimbit milik dua wanita warga emas.
Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Masjid Al-Azhariah dan Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18 Shah Alam, pada 6.25 pagi dan 8.50 malam, 20 Dis lalu.
Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon penetapan tarikh bagi mengemukakan laporan sosial tertuduh yang masih muda.
“Selain itu, pendakwaan menawarkan kos ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin,” katanya.
Amirul tanpa diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan pengurangan kos jaminan.
Redza membenarkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Jan depan bagi pendengaran laporan sosial tertuduh.
Akhbar itu sebelum ini melaporkan perbuatan terkutuk seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di Shah Alam tumpas apabila dicekup polis.
Perbuatan itu dikesan menerusi satu video tular yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lelaki memasuki ruang solat wanita untuk melakukan kegiatan melibatkan dua mangsa berkenaan.
Rakaman CCTV di dua lokasi kejadian mendapati suspek menggunakan taktik sama iaitu memakai telekung putih memasuki ruangan jemaah wanita. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.