`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 7, 2022

LRT laluan Kelana Jaya tergendala lagi

 

Keadaan sesak di salah sebuah stesen LRT selepas perkhidmatan tergendala sekali lagi pagi tadi. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya sekali lagi tergendala pagi tadi dengan beberapa pengguna berkongsi gambar keadaan sesak di stesen sepanjang laluan itu.

Menerusi kenyataan Rapid KL di Twitter pada 7.35 pagi, kelewatan disebabkan kerja baik pulih yang sedang dijalankan di laluan berkenaan berpunca daripada gangguan pada isyarat tren.

Berikutan itu katanya, ia menjangkakan kekerapan 15 minit di beberapa stesen antara Gombak dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sambil memaklumkan tren dipandu secara manual di kawasan terlibat.

Menerusi kemas kini ciapan pada 7.56 pagi pula, Rapid KL memaklumkan kerja baik pulih selesai dan isyarat kembali normal, dengan jadual perjalanan sedang diselaraskan dan kekerapan dijangka pulih dalam masa 10 minit.

Di Twitter beberapa pengguna antaranya @YahyaImran memuat naik gambar yang menunjukkan orang ramai beratur panjang ketika menunggu ketibaan tren pada 7.55 pagi.

Selain itu, seorang pengguna @speedyrecoveryx memaklumkan dia menunggu hampir 30 minit sebelum tren tiba.

“Dah 30 minit tunggu, aku patut masuk pejabat jam 7.30 pagi,” ciapnya.

Kelmarin, Loke Siew Fook turun padang meninjau sendiri situasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya walaupun belum memulakan tugas secara rasmi sebagai menteri pengangkutan.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mendapat perhatian sejak beberapa minggu lalu selepas mengalami gangguan beberapa kali hingga operasinya terpaksa dihentikan selama hampir seminggu bermula 9 Nov lalu.

Penggantungan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park ketika itu terpaksa dilakukan selepas operasi tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) selama beberapa kali sehingga menjejaskan kestabilan perkhidmatannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.