`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 6, 2022

Orang Asli hidup ketakutan diganggu gajah, Ahli Parlimen kritik Perhilitan

 

Komuniti Orang Asli di Pos Betau hidup dalam ketakutan kerana kampung mereka sering diceroboh gajah liar.

KUALA LUMPUR: Komuniti Orang Asli dari Pos Betau dekat Kuala Lipis, Pahang hidup dalam ketakutan sejak beberapa tahun lalu, selepas sekumpulan 20 ekor gajah memusnahkan tanaman dan kediaman mereka.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Nor berkata, beliau dan beberapa ketua kampung membuat lebih 10 aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), selepas gajah liar menceroboh sebuah kampung pada Disember 2021.

“Cadangan saya kepada mereka ialah memindahkan gajah itu dari kawasan berkenaan, tetapi mereka (Perhilitan) tidak mengendahkannya.

“Mereka hanya datang menghalau gajah itu,” katanya dalam sidang media di sini.

Ramli berkata, ini sebabnya beliau kecewa selepas mendapat berita seorang wanita Orang Asli berusia 39 tahun dari Kampung Simoi Baru di Pos Betau maut awal pagi tadi akibat dipijak gajah liar ketika tidur di rumahnya.

Selain kematian wanita itu, katanya, kehidupan penduduk kampung juga terjejas selepas gajah memusnahkan tanaman mereka – sumber utama makanan dan pendapatan mereka.

Beliau berkata, ketua kampung sangat kecewa dengan tragedi pagi tadi, justeru beliau menggesa pihak berkuasa bertindak segera kerana bimbang masyarakat Orang Asli di kawasan itu akan mengambil tindakan sendiri.

Pos Betau mempunyai beberapa kampung yang didiami lebih 2,000 penduduk.

Kata Ramli, ada kes penduduk kampung terpaksa bermalam di rumah saudara di kawasan lain kerana bimbang gajah memasuki kampung mereka.

Menurutnya, beliau akan membangkitkan isu itu dalam sidang Parlimen akan datang.

FMT cuba menghubungi Ketua Pengarah Perhilitan, Kadir Abu Hashim untuk mengulas.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.