`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 6, 2022

Zahid jamin DAP akur kedudukan Islam, hak Melayu

 

Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Himpunan Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Rompin hari ini. (Gambar Bernama)

ROMPIN: Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP memberi jaminan untuk “akur dan patuh” dengan empat perkara yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk berkaitan agama Islam dan keistimewaan Orang Melayu.

Presiden Umno itu berkata, dua perkara lagi ialah kedudukan institusi Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu.

Beliau berkata, jaminan itu diberikan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook semasa pertemuan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum pembentukan kerajaan perpaduan.

“Soalan pertama saya sebagai presiden BN ialah bagaimana kedudukan Islam, hak Orang Melayu, Bahasa Melayu dan institusi Raja-raja Melayu.

“Bila soalan itu diajukan, setiausaha agung DAP kata kami DAP baharu, kepimpinan baharu dan kami akur dengan sebarang perkara dalam Perlembagaan, termasuk empat perkara itu,” katanya berucap pada Program Himpunan Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Rompin di sini.

Zahid berkata, akar umbi tidak perlu bimbang kerana sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, beliau tidak pernah menjual parti, sebaliknya berusaha memastikan parti itu kekal relevan untuk terus memperjuang hak serta keperluan rakyat.

“Saya seru pada diri sendiri dan semua peringkat parti…ini adalah ujian kepada kita. Kita mesti istiqamah. Jangan ada lagi perbezaan pendapat antara kita hingga bawa perpecahan.

“Rapatkan saf kepimpinan dan wujudkan penyatuan supaya Umno dan BN terus relevan, bukan hanya dalam kerajaan perpaduan, tetapi sehingga masa depan. Kita berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat bersama-sama rakan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat BN di negeri atau Parlimen agar berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa dalam tempoh lima tahun dan bukan bersifat “bermusim”.

Zahid juga meminta pengundi di Dewan Undangan Negeri Tioman memilih calon BN, Johari Hussain sebagai tanda sokongan kepada kerajaan perpaduan yang dibentuk di Pahang dan persekutuan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.